SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lagi beberapa individu bagi membantu siasatan sindiket penyelewengan dana kerajaan berjumlah lebih RM100 juta.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, individu ini membabitkan pegawai kerajaan dan orang awam di kementerian berkenaan.
“Dijangka jumlah mereka yang akan dipanggil sebagai saksi ini agak ramai.
“Bagaimanapun, SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan baru yang dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, sembilan individu terdiri daripada tujuh lelaki dua wanita membabitkan kontraktor syarikat serta seorang setiausaha bahagian di sebuah kementerian ditahan SPRM pada 17 Mac selepas disyaki menyeleweng dana kerajaan.
Pegawai kanan kerajaan berusia 56 tahun itu, disyaki menjadi dalang yang mengarahkan salah sebuah agensi kementerian membuat bayaran kepada kira-kira 14 buah syarikat kontraktor bagi menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak pernah wujud.
Malah, pegawai kanan tersebut dipercayai telah menerima habuan daripada kontraktor dalam bentuk kewangan dan fasiliti, beg tangan berjenama, pembayaran insurans, unit amanah bernilai jutaan ringgit serta pemberian kad kredit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.