APABILA bercakap mengenai mereka yang di belakang tabir, pastinya kita sudah terbiasa dengan pengarah, penulis skrip, 'soundman' dan banyak lagi.
Namun tahukah anda individu penting lain di belakang tabir iaitu penolong pengarah?
Ini kerana, penolong pengarah biasanya ditugaskan untuk menguruskan jadual artis, lokasi, mengambil arahan daripada pengarah dan juga menyampaikan arahan kepada pengarah serta banyak lagi tugas pengurusan yang dipegangnya.
Zass mendekati seorang penolong pengarah yang sudah berpengalaman lebih tujuh tahun.
Nur Ain Mohd Sharif, 28, atau lebih mesra disapa Ain merupakan graduan dalam Screen Art Film dari UiTM Shah Alam.
Biarpun individu-individu yang bergelar penolong pengarah ini dilabelkan sebagai tegas dan garang, namun Nur Ain mencuba gaya berlainan dalam bekerja.
"Tidak dinafikan, dahulu penolong pengarah memang dikenali kerana ketegasan dalam bekerja. Maki hamun itu biasa.
"Tapi saya cuba untuk tidak menjadi 'mak tiri' di dalam produksi.
"Kalau kita marah-marah, maki orang, akhirnya orang tak suka bekerja dengan kita dan mungkin tidak akan mendengar apa yang kita suruh.
"Jadi saya sentiasa rancang kerja saya dan letak dua plan, kalau plan A tak jadi, kita letak pada plan B," ujarnya.
Tidak menafikan berdepan pelbagai cabaran dalam bekerja, Ain berkata, dia menganggap semua itu sebagai satu pengalaman berharga.
"Tidak dinafikan kadang-kala kita berdepan situasi seperti artis datang lewat, masalah prop dan sebagainya.
"Kalau ada artis tiba lewat, kita akan cuba selesaikan dengan babak melibatkan artis yang sedia ada terlebih dahulu.
"Kalau ada krew tak jumpa barang, kita bagi dia masa untuk cari barang.
"Sebab itu saya kata, sebagai penolong pengarah, penting untuk kita mengatur cara kerja dan mempunyai plan sokongan agar kita memastikan sesuatu penggambaran itu berjalan lancar.
"Saya memang utamakan profesionalisme. Konsep saya, kalau kita siapkan kerja cepat, kita boleh rehat cepat," jelasnya.
Mengimbau pengalamannya di belakang tabir, Ain berkata, sebelum bergelar penolong pengarah, dia terlebih dahulu menimba pengalaman menerusi tugas-tugas kecil di belakang tabir.
"Sebelum bergelar penolong pengarah, saya bermula dengan kerja di bahagian pakaian dan kemudian menjaga konti dan seterusnya berada di tempat saya berada sekarang.
"Saya tidak pernah terfikir untuk bekerja di bidang belakang tabir, tapi selepas belajar dalam bidang ini dan sering mengikut Profesor Datuk A Razak Mohaideen menjalani penggambaran, sedikit demi sedikit saya jatuh cinta dengan bidang ini," katanya.
Tambah Ain, berada di dalam bidang belakang tabir secara tidak langsung telah memberi banyak pengalaman dan peluang kepadanya untuk melihat negara orang.
Biarpun pernah berdepan kesukaran seperti susah mendapat kerja kerana bergerak sendiri, namun semua itu menjadi kenangan berharga buatnya.
"Bila bekerja belakang tabir, secara tidak langsung, kita berpeluang pergi bekerja sambil melancong. Walaupun perlu bekerja, tapi bukan senang dapat peluang ke luar negara.
"Memang bekerja di belakang tabir secara sendiri ini, kita tidak memiliki gaji bulanan.
"Mula-mula dahulu tidak dinafikan agak sukar untuk saya, kadang kala sehingga sebulan tak ada kerja.
"Tapi sekarang Alhamdulillah, bila habis satu projek, sudah ada projek lain yang menanti," ujarnya yang pernah terlibat dengan drama popular seperti Suka Tanpa Sengaja, Dunia Generasi Baharu dan banyak lagi.
Bina kepercayaan
Ditanya sejauh mana dia akan terlibat dalam kerja belakang tabir, Ain berkata, dia hanya mengikut peredaran masa.
Mengakui masih lagi belajar selok-belok dalam bidang ini, tambah Ain, dia juga bergantung kepada rezeki yang sudah ALLAH SWT aturkan buatnya.
"Bagi saya, bergelar penolong pengarah membuatkan saya banyak belajar. Tugas ini memerlukan saya berurusan dengan ramai orang.
"Namun untuk pergi lebih jauh, buat masa ini saya tidak berani cakap.
"Apa yang saya lakukan kini adalah untuk menimba pengalaman, membina kepercayaan orang terhadap saya.
"Jika ada rezeki, sejujurnya saya mahu pergi jauh lagi di dalam bidang ini. Tapi buat masa ini, biar orang nilai dahulu cara kerja saya," tuturnya.
Diekori seseorang
Sementara itu, berkongsi pengalamannya sepanjang bekerja, Ain berkata, dia pernah diekori seseorang lantaran waktu kerja yang tidak menentu.
"Bekerja di dalam bidang ini, waktu kerja memang tak menentu. Ada kala kita selalu balik lewat hingga tengah malam atau awal pagi.
"Pernah sekali, mungkin kerana perasan saya sering pulang lewat malam, saya diekori oleh seseorang yang tidak saya kenali.
"Mujur saya tidak panik dan terus memandu ke balai polis. Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang berlaku. Tapi kejadian itu mengajar saya lebih berhati-hati," akhirinya.