SELEPAS tujuh minggu bersaing bagi merebut tempat ke finale, kini kemuncak Kilauan Emas Musim Otai kini sudah pun sampai ke penghujung.
Malam ini bakal menyaksikan bekas dua juara Kilauan Emas iaitu Fuad (Kilauan Emas 2) dan Mustar (Kilauan Emas 5) akan berentap bersama Idris (Naib Juara Kilauan Emas 3) dan Nas (Tempat Kelima Kilauan Emas 4) akan berentap merebut gelaran juara dan dinobatkan sebagai otai terunggul untuk musim ini.
Untuk pusingan akhir, kesemua finalis telah pun diberi dua tugasan iaitu persembahan secara solo dan juga persembahan duet bersama pasangan artis jemputan seperti Indah Ruhaila, Noraniza Idris, Rosma dan Asmidar.
Sistem pemarkahan adalah 50% daripada pihak juri iaitu pengarah muzik, Datuk Ramli MS dan pelakon, Erra Fazira bersama seorang lagi juri jemputan, manakala 50% lagi menerusi undian SMS.
Juara Kilauan Emas Otai bakal membawa pulang hadiah lumayan iaitu wang tunai berjumlah RM150,000 berserta trofi sumbangan Astro dan Naib juara pula bakal memenangi wang tunai RM50,000 dan trofi.
Manakala pemenang tempat ketiga dan keempat pula masing-masing akan memenangi wang tunai RM30,000 dan RM10,000 beserta trofi. Pemenang untuk kategori Anugerah Khas Juri pula bakal menggondol hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.
Kilauan Emas Otai bakal bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras boleh ditonton di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135) bermula jam 9 malam. 
Fuad impi jadi juara lagi
Juara Kilauan Emas musim kedua, Fuad atau nama sebenarnya Ahmad Fuad Zaharullail, 48, tidak berselindung impiannya yang mahu bergelar juara sekali lagi.
Menurut Fuad, selepas menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan minggu demi minggu, dia kini berharap tuah kembali menjadi miliknya.
"Bagi saya kalau tanya sesiapa pun, mereka mahu menjadi juara. Begitu juga dengan saya.
"Biarpun pernah mengharungi dugaan terutamanya ketika minggu kedua, saya akhirnya kembali ke pentas finale.
"Bagaimanapun saya tidak memandang mudah kehadiran tiga lagi finalis otai kerana mereka semua mempunyai kekuatan tersendiri," ujarnya yang bakal membawakan lagu Jangan Bersedih Lagi nyanyian asal Anuar Zain dan lagu duet, Joget Cinta Sakti.
Tambah Fuad, dia menerima apa sahaja keputusan pada malam ini dan akan membuat persembahan terbaik buat semua.
'Tanggungjawab berat' - Wak Mustar
Berbeza dengan tiga finalis lain yang memberi gelaran juara, pemenang tempat pertama Kilauan Emas musim kelima, Mustar atau lebih dikenali dengan panggilan Wak Mustar tidak meletakkan harapan tinggi seperti yang lain.
Bakal membawakan lagu solo Kini Hatiku Telah Tertawan, nyanyian asal Ahmad Jais dan lagu duet, Makan Nasi Minyak, pemilik nama sebenar Mustaffa Rasyid Abd. Jabar, 47, ini tetap mengharapkan sokongan peminatnya.
"Saya tahu, semua orang mahu menjadi juara. Tapi harus diingat juga, kita ada tempat kedua, ketiga dan keempat.
"Kalau pun malam ini saya dipilih memenangi tempat keempat, saya tetap bersyukur.
"Bagi saya berada di finale ini juga merupakan tanggungjawab berat buat saya. Saya fikir ini adalah amanah yang harus saya pikul kerana mereka mempercayai saya.
"Jadi saya hanya mahu lakukan yang terbaik. Tapi kalau dah tertulis rezeki saya malam ini, saya akan cuba gunakan wang kemenangan di jalan yang baik, agar mereka yang memilih saya turut mendapat faedah dari wang tersebut," katanya.
Naz bukti kemampuan!
Dalam pada itu, Mohammad Nasiruddin Mohd Hashim, 45, atau lebih dikenali dengan nama Nas tekad untuk membuktikan kemampuan sebenarnya malam ini.
Ujar Nas, biarpun berjaya ke peringkat akhir, namun dia tahu, masih ada yang ragu-ragu akan kemampuannya.
"Pertamanya Nas bersyukur kerana doa Nas untuk ke peringkat akhir dimakbulkan.
"Walaupun pelbagai halangan terpaksa Nas tempuhi untuk melibatkan diri dalam program ini, tapi Nas sentiasa ambil segala halangan itu dari sudut positif.
"Jadi Nas mahu usaha buat yang terbaik dan tonjolkan diri dalam konsert akhir ini. Apatah lagi, Nas perlu bersaing dengan tiga lagi otai yang hebat," ujarnya.
Bakal membawakan lagu solo Ku Tak Bisa dan lagu duet, Jika Kau Tiada nyanyian asal Yusry dan Erra Fazira, Nas mengakui berdepan dengan cabaran.
"Lagu solo mungkin tak ada masalah sangat. Tapi lagu duet, Nas tak biasa dengar. Jadi ia sedikit sebanyak memberi cabaran buat Nas untuk ingat lirik," katanya.
Janji Idris
Sementara itu, Naib Juara Kilauan Emas musim ketiga, Idris Mohd Shabidin, 54, berjanji untuk mengatasi segala kelemahannya pada konsert malam ini.
Pernah mendapat pujian dari Datuk Ramli M.S, Idris berkata, dia tetap tidak memandang enteng tiga lagi finalis yang turut sama berentap malam ini.
"Sejak awal lagi saya dah ingatkan diri saya untuk tidak leka dengan pujian dan gelaran yang pernah saya miliki sebelum ini.
"Saya tidak pandang ia sebagai satu kelebihan, saya juga sedar saya ada kekurangan dan kekurangan itulah yang mahu saya atasi.
"Dalam apa pertandingan sekali pun, pasti kita menyasarkan untuk menjadi juara. Begitu juga dengan pertandingan malam ini.
"Bagi saya, bila kita menyasarkan untuk menjadi juara, ia menjadi pembakar semangat buat kita melakukan yang terbaik.
"Apa pun saya menyerahkan keputusan itu kepada juri dan saya juga berjanji untuk memberikan yang terbaik pada konsert malam ini," kata pesara tentera ini.