BIARPUN perjalanannya menerusi pentas Akademi Fantasia (AF) 2015 hanya bertahan sehingga konsert minggu ke-7, namun itu belum mematahkan semangat anak jati Ipoh, Perak ini meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian.
Atas dasar yakin bahawa satu hari nanti bakatnya akan mendapat tempat di kalangan peminat muzik tanah air, Iqwan Alif mengorak langkah dalam mencari peluang mengembangkan bakat nyanyiannya.
Rezeki setiap manusia sudah tertulis, begitu juga dengan Iqwan apabila tidak lama mencari peluang, akhirnya dia ditawarkan untuk bergelar penyanyi yang bernaung di bawah pengurusan KRU Music.
“Alhamdulillah, awal Januari lalu saya menandatangani kontrak untuk menjadi penyanyi di bawah KRU Music selama tiga tahun.
“Selepas tamat AF, saya ada bertemu dengan cikgu Edry untuk mendapatkan pendapatnya mengenai karier saya dan dia memberitahu ada perancangan untuk saya.
“Ketika itu saya tidak berfikir panjang dengan tawaran itu kerana bagi saya ini adalah peluang besar untuk mengembangkan bakat saya.
“Saya percaya rezeki ada di mana-mana dan saya mahu buat yang terbaik kerana tidak mahu mengecewakan kepercayaan yang telah diberikan kepada saya,” katanya kepada Zass, baru-baru ini.
Bercerita mengenai perjalanan baharunya itu, Iqwan memberitahu, kini dia sedang sibuk mempromosikan single pertamanya, Cemburu Buta.
“Selepas berbincang, saya terus diberi lagu untuk dirakamkan iaitu Cemburu Buta ciptaan sepenuhnya oleh Yusry Abdul Halim.
“Lagu ini dirakamkan pada Disember tahun lalu dan hanya ambil masa sebulan untuk disiapkan dan pada pertengahan Mac lalu ia telah dilancarkan.
“Single ini mengetengahkan genre pop yang mana bersesuaian dengan penampilan pertama saya,” katanya.
Platform AF membantu
Mengakui pengalamannya selama tujuh minggu berada di pentas AF sedikit sebanyak memudahkan dia menjalani karier nyanyiannya.
“AF adalah pentas pertama yang memberi peluang kepada saya untuk belajar memperbaiki vokal dan mendalami muzik sebab sebelum ini saya memang tidak ada pengalaman itu.
“Saya anggap itu sebagai peluang yang besar untuk saya belajar dan sepanjang berada di AF, pengalaman itu banyak membantu saya menjalani karier,” ujarnya.
Ditanya sama ada dirinya sudah bersedia untuk menempuhi cabaran dalam industri, Iqwan bagaimanapun yakin untuk memberikan yang terbaik.
“Saya tahu bakat baharu kini semakin ramai dan menjadi saingan terhadap kerjaya saya.
“Namun, bagi saya setiap orang memiliki kelebihan dan rezeki masing-masing dan itu bukan perkara besar yang harus saya beri perhatian sepenuhnya.
“Apa yang perlu saya lakukan adalah menjalani karier ini dengan usaha yang terbaik,” katanya.