MASYARAKAT hari ini masih lagi kurang peka dengan keistimewaan  tumbuh-tumbuhan yang ada di sekeliling mereka kerana setiap pokok itu pasti ada kebaikannya.
Justeru itu, seorang anak muda mengambil kesempatan mempelbagaikan lagi keistimewaan daun bidara, yang banyak keistimewaannya dengan menjadikannya sebagai Gel Mandian Bidara.
Menurut Ahmad Muzakir Ahmad Shukri, 27, sebelum ini daun bidara kurang dikenali kerana tiada pihak tampil melakukan penyelidikan terhadap keistimewaan daun tersebut.
“Oleh itu saya cuba membuat kajian dengan menghasilkan daun bidara itu sebagai gel mandian, yang mempunyai banyak khasiatnya dan cuba komersialkannya untuk kebaikan orang ramai," katanya.
Bekas pelajar perubatan Islam Darul Syifa ini berkata, daun bidara ini pernah disebut di dalam al-Quran  dan mempunyai 15 khasiatnya.
“Semasa di alam persekolahan dahulu saya juga banyak melihat kejadian histeria berlaku dan masih ramai lagi di kalangan kita yang menggunakan perubatan yang bertentangan dengan akidah.
"Oleh itu terpanggil untuk membantu masyarakat hari ini dengan menggunakan gel daun bidara ini bagi tujuan perubatan sihir," katanya yang ditemui di Kuala Nerang, Kedah. 
Ahmad Muzakir berkata, daun bidara juga mampu membantu merawat pelbagai penyakit kerana daunnya  mengandungi antioksidan yang sangat tinggi dan mampu merawat masalah jerawat, rambut, kulit, bisul dan sebagainya.
Katanya,  kandungan kalsium yang tinggi dalam daun bidara juga mampu menguatkan tulang dan gigi.
Yakin dengan khasiat daun tersebut, Ahmad Muzakir berkata, sambutan produknya kini sangat menggalakkan kerana sudah berjaya memasarkannya hingga ke luar negara seperti Brunei dan Singapura.
Kejayaan itu juga turut mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Amalan Perkilangan Yang Baik (GMP), Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Malaysia Best (BEST) dari Fama.
“Selepas mendapat sambutan yang menggalakkan itu, saya bercadang menghasilkan pula daun bidara dijadikan sabun dan pil, yang boleh membantu merawat pelbagai penyakit dengan harga yang berpatutan,” katanya.