WAJAHNYA acap kali menghiasi pelbagai drama bersiri popular di kaca televisyen (TV).
Sekalipun hanya memenuhi watak pembantu, Shakilla Khoriri bagaimanapun menyifatkan platform itu sebagai satu peluang keemasan demi mengukuhkan lagi namanya di persada seni.
Pun begitu, jika ditimbal balik, biarpun sorotan kariernya agak kukuh, ia tidak memberi pulangan setimpal apabila namanya sebagai pelakon masih ditakuk ‘suam-suam kuku’.
Tambahan pula, pemilik nama Nurul Shakilla Mohd Khoriri ini sudah berkecimpung dalam bidang lakonan selama sedekad.
"Saya mengaku, dahulu saya agak cepat marah apabila ada yang tidak mengenali saya sebagai pelakon. Tetapi, mungkin kerana ketika itu saya masih muda dan bersifat mentah.
"Kini, biarlah tidak ramai yang mengenali saya pun asalkan saya puas dengan karier saya. Jujurnya, saya sudah tidak kisah dengan populariti. Lagipun, berlakon adalah minat dan keutamaan saya. Saya berminat mencuba sesuatu yang baharu dan bidang ini juga sudah menjadi punca rezeki saya," katanya kepada Zass.
Menariknya, gadis berusia 27 tahun ini tetap optimis kerjayanya sebagai pelakon semakin berkembang, walaupun agak perlahan.
"Saya menyedari perkembangan karier saya semakin bagus. Bukanlah hendak mendabik dada, sebaliknya saya melihatnya daripada segi maklum balas terhadap hasil kerja saya.
"Apabila sudah ada yang bercakap mengenainya, pastinya saya akan berasa lega kerana ia diterima. Lebih-lebih lagi, apabila saya sudah beri komitmen semaksimum mungkin," katanya.
Atas dasar itu, pelakon drama Adam & Hawa ini menyimpan impian untuk memegang watak heroin, suatu hari nanti.
"Semua orang yang bergelar pelakon pasti mengimpikannya. Begitu juga dengan saya. Tetapi, saya tahu menjadi heroin merupakan satu tanggungjawab yang besar untuk dipikul sementelahan lagi apabila mendapat jalan cerita hambar dan pasangan baharu yang pertama kali berlakon," katanya.
Begitu pun, kata Shakilla, pokok pangkalnya ia mestilah datang daripada minat yang mendalam terhadap bidang seni.
"Jujurnya, saya tidak kisah kerana tidak dipilih untuk menjadi heroin. Namun, saya agak terkilan apabila ada sesetengah pelakon yang berpeluang menjadi heroin langsung tidak tahu menghargai akan peluang yang diberikan.
"Bahkan, ada pula yang 'tuang racun' ke dalam periuk nasi sendiri dengan pelbagai masalah disiplin. Saya melakukannya kerana minat dan bukan kerana duit. Duit itu menjadi nombor dua. Apa yang penting, saya puas dengan setiap watak diberikan," katanya.
Ubah penampilan
Pada masa sama, Shakilla kini tampak lebih segar, muda dan ceria di sebalik potongan rambut pendeknya sejak awal tahun.
Mengakui agak sukar memiliki rambut sependek itu, pelakon Aku Bukan Bimbo ini bagaimanapun seronok dan selesa dengan penampilan terbaharunya.
"Antara sebab utama saya memotong rambut adalah kerana saya mahu melakukan sesuatu yang baharu. Saya tidak mahu lagi dikenali dengan imej lama iaitu yang berambut panjang dan 'berkepuk-kepuk'.
"Jadi, atas nasihat kak Sheila Rusly, saya membuat kelainan apabila tampil dengan watak perempuan tomboi. Drama Anakku Diva adalah drama pertama saya selepas memotong rambut," katanya.
Meskipun menyedari dirinya bukanlah menjadi pilihan utama pengarah, Shakilla menyerahkan soal rezekinya dalam bidang seni ini kepada ALLAH SWT.
"Saya sedar akan kekurangan diri. Jika orang lain bekerja dua kali ganda, jadi saya juga perlu lebih melipat kali ganda usaha saya. Mungkin kelebihan saya adalah tampil dalam pelbagai karakter.
"Malah, saya juga mengakui saya akan menonton semula hasil kerja lakonan saya. Ini kerana berlakon adalah 'homework' saya jadi saya merasakan adalah perlu untuk memperbaiki setiap mutu lakonan saya,'' katanya.
Dalam perkembangan lain, Shakilla baharu sahaja tamat menjalani penggambaran drama bersiri Jasmine di samping Aqasha, Gambit Saifullah dan Nelydia Senrose. Selain itu, Shakilla bakal bergandingan dengan Sherie Merlis, Mahmud Ali Bashah dan Syafie Naswip untuk sebuah telefilem di RTM.