SEBAGAI selebriti terkenal, aktor kacak, Adi Putra semestinya tidak mempunyai masalah untuk menggunakan popularitinya demi melariskan perniagaannya.
Pun begitu, Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim yang juga merupakan pemilik agensi mengelola umrah, Hadid Travel & Tours enggan untuk mengaplikasikan kaedah tersebut.
Bahkan, pelakon berusia 35 tahun itu lebih selesa menggunakan cara yang sama seperti agensi umrah lain iaitu melantik duta daripada kalangan selebriti.
Tidak cukup satu, sebaliknya Adi melantik dua selebriti yang masih muda iaitu pendatang baharu, Mira Filzah dan Imam Muda Hizbur Rahman Omar Zuhdi menjadi duta syarikatnya itu.
Bercerita lanjut, kata bintang filem Suami Aku Ustaz ini, pelantikan itu adalah untuk menarik minat generasi muda dalam mengerjakan ibadah umrah.
Menariknya lagi, pelantikan dua duta ini kekal sepanjang hayat agar kelangsungan ibadah itu dapat terus dikekalkan seterusnya menjadi contoh kepada yang lain.
“Sasaran utama saya adalah untuk mendekati generasi muda, jadi saya merasakan pelantikan dua personaliti ini dilihat amat bersesuaian.
“Mira Filzah memberi contoh sebagai selebriti Muslimah yang memiliki penampilan yang baik manakala Hizbur Rahman pula dilihat sebagai ustaz muda yang boleh berkongsi ilmu dengan jemaah nanti.
“Malah, pelantikan mereka juga tidak termaktub pada tarikh tertentu kerana bagi saya ibadah mesti diteruskan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui pada pelancaran program Umrah Bersama Selebriti, baru-baru ini.
Kata Adi, tidak hanya Mira Filzah dan Hizbur Rahman, program Umrah Bersama Selebriti turut melibatkan penyertaan daripada dua artis lain iaitu Roslan Shah dan AG dari Kool FM serta ikon, Maulana Noor Effendi Hamid.
“Insya-ALLAH, rombongan saya akan pergi ke Mekah terlebih dahulu bermula 4 hingga 14 April ini.
“Selepas itu, umrah bersama Roslan Shah (12 hingga 23 April), AG Kool FM (21 April hingga 2 Mei), Hizbur Rahman (12 hingga 23 Mei), Mira Filzah (4 hingga 14 Jun) dan Maulana Noor Effendi (16 hingga 27 Jun) pula akan menyusul,” katanya.
Bagaimanapun, pelakon filem Balistik ini akan berada di Mekah selama tiga bulan  sehingga Ramadan nanti.
Katanya, selain menunaikan umrah, pemergiannya ke sana lebih kepada menyelesaikan urusan berkaitan jemaah sambil menyambut kedatangan sahabat-sahabatnya.
“Sebagai pemilik syarikat, saya perlu memastikan segala urusan di Mekah berjalan lancar.
“Agensi saya akan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan jemaah ketika beribadah di sana nanti.
“Bukan senang mahu mengumpul wang untuk ke Mekah jadi saya mahu mereka dapat beribadah dengan selesa di sana,” katanya.
Malah, bagi melancarkan perjalanan tersebut, Adi turut menjalinkan kerjasama dengan agensi pengelola umrah yang lain iaitu Fa Izin International Travel & Tours.
Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai pakej umrah itu boleh http://ift.tt/24UDb2e, http://ift.tt/1MbpekZ atau berjumpa mereka di Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 11 hingga 13 Mac ini.
Ingin jadi seperti SRK
Sementara itu, berbicara mengenai karier seninya, Adi mengakui sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Lambaian Ramadan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Dalam drama ini, saya bergandingan dengan Siti Elizad. Insya-ALLAH,  ia aka ditayangkan di TV3 pada Ramadan nanti,” katanya.
Menceritakan kejayaan gandingannya dengan pelakon baharu, Mira Filzah menerusi drama adaptasi Cinta Si Wedding Planer, kata Adi cabaran utamanya lebih kepada menyesuaikan rentak lakonannya agar persembahan mereka seimbang sekali gus tidak menampakkan jurang usia di antara mereka.
“Pada awalnya, ada yang bercakap gandingan kami tidak bersesuaian kerana saya lebih berumur.
“Namun, itulah sebenarnya cabaran saya. Jadi untuk tidak menampakkan jurang itu, ia perlulah ditonjolkan melalui gaya lakonan.
“Malah, saya juga tidak meletakkan diri sebagai pelakon senior selain cara Mira Filzah yang dapat menyesuaikan diri dengan cepat,” katanya.
Pada masa sama, anak kelahiran Singapura ini turut mengambil contoh superstar Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan (SRK) yang sudah mencecah usia 50 tahun tetapi masih bergandingan dengan heroin muda dan jelita.
“Saya mengenali SRK sejak kecil lagi dan dia masih hebat sehingga kini. Peningkatan usia sama sekali tidak menjejaskan kedudukannya sebagai hero paling disanjungi di Bollywood.
“Setiap heroin baru yang bergandingan dengan SRK pasti akan segera menempa nama dan kerana itu ramai berlumba-lumba mahu berlakon di sampingnya.
“Saya teringin menjadi sepertinya dan kerana itu saya tidak kisah digandingkan dengan pelakon baru,” katanya.