TAMPIL dengan imej beret merah, berbaju seragam berwarna merah dan hitam, kelibat Abdul Rani Kulup Abdullah, sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Malah, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) sudah cukup dikenali kerana beliau sering membuat laporan polis berkaitan isu semasa terutamanya hal yang menyentuh agama Islam dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Turut digelar 'Raja Report', kelibat Rani Kulup ada lebih mesra di panggil Ayah, akan dapat dilihat menerusi filem pertama lakonannya, Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi terbitan Metrowealth Picture (MIG).
Filem arahan Eyra Rahman ini turut menyaksikan gandingan pelakon lama dan baharu seperti Kartina Aziz, Atikah Suhaime, Hafreez Adam, Julia Farhana Marin, Aizat Hassan dan ramai lagi.
Menurut Eyra, pemilihan Rani Kulup di dalam filem ini adalah di atas perbincangan bersama dengan pihak MIG.
"Pada asalnya, filem ini mengisahkan kehidupan seorang nenek dan tiga cucu kecil dan melibatkan percintaan tiga segi.
"Tapi saya cadang untuk wujudkan watak datuk agar filem ini lebih ceria. Jadi untuk tampilkan kelainan, saya buat sedikit kajian dan cadangkan untuk menampilkan Rani Kulup di dalam filem ini.
"Bagi saya pemilihan beliau di dalam filem ini memberi satu cabaran buat saya kerana beliau tidak pernah berlakon. Namun Alhamdulillah, semua pelakon dan Rani Kulup sendiri memberi kerjasama yang cukup baik sepanjang menyiapkan filem ini," katanya kepada Zass.
Tambah Eyra, dia juga tidak menafikan pemilihan Rani Kulup adalah sebagai strategi menarik penonton ke pawagam.
Bagaimanapun tegasnya, ke semua pelakon lain juga mempunyai aura tersendiri untuk menarik perhatian penonton menyaksikan filem ini.
"Tidak dinafikan Rani Kulup mempunyai pengikut dan aura yang tersendiri. Tapi bukan dia sahaja, saya percaya semua pelakon juga mempunyai aura mereka yang tersendiri.
"Antara sebab lain saya mempertaruhkan Rani Kulup di dalam filem ini bukan menjadikan beliau sebagai boneka untuk ditertawakan, tetapi untuk menunjukkan dia juga mempunyai bakat seni di dalam dirinya," katanya.
Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi mengisahkan Sapura (Atikah) seorang peguam, bercinta dengan seorang pelakon yang sedang meningkat naik iaitu, Eddie (Hafreez).
Dunia mereka yang berbeza membuatkan Sapura sering rasa tergugat dengan hubungan percintaan mereka lebih-lebih lagi Eddie sering digosipkan dengan seorang pelakon bernama Maya (Julia).
Atok Sapura, Tok Daddy (Rani Kulup) dan nenek Sapura, Nanny Rockie (Kartina) atau nama sebenarnya Nek Rokiah membesarkan adik Sapura yang lain iaitu Akim, Afiq dan Sarah selepas kematian ibu serta ayah mereka.
Akim, Afiq dan Sarah tahu tentang hubungan percintaan kakaknya itu, namun mereka membantah perhubungan mereka kerana sikap Eddie yang tidak menyenangkan mereka.
Hisham (Aizat), rakan baik Sapura sejak kecil telah menyimpan perasaan terhadap Sapura. Hisham memang sayangkan Sapura namun, tidak pernah memberitahu Sapura. Hisham juga sangat rapat dengan atuk dan nenek Sapura.
Pada suatu malam, di hari jadi Sapura, satu kejadian yang tidak disengajakan telah berlaku. Eddie telah tersasul menyebut nama ketika menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi.
Oleh kerana marah dengan kejadian itu, Sapura membawa dirinya ke kampung. Eddie juga turut pulang ke kampung Sapura untuk memujuk Sapura.
Namun, adik-beradik Sapura mempunyai rancangan lain untuk merosakkan hubungan mereka. Ini kerana, mereka merasakan Sapura lebih layak bersama Hisham.