Friday 25 March 2016

Hello taruhan kedua Hunny Madu




Hunny Madu

SELEPAS mengeluarkan single Go Hard or Gostan dan Gucci Dowh pada Oktober 2014, kini penyanyi Hunny Madu tampil mempertaruhkan lagu baharu Hello hasil kolaborasi bersama Aman Ra yang merupakan penyanyi rap popular.
Apa yang menariknya, lagu baharu ini mengetengahkan hasil tulisan lirik daripada Hunny sendiri dan Aman Ra selain mendapat sentuhan daripada pemuzik berbakat besar, AG Coco.
Bercakap mengenai lagu, Hunny memberitahu, Hello mengetengahkan muzik genre pop yang sedikit berbeza daripada irama hip hop yang cukup sinonim dengan nyanyiannya sebelum ini.
“Sebelum ini muzik yang saya bawa lebih kepada pengaruh hip hop, namun kali ini saya memilih untuk hasilkan karya yang berbeza.
“Hello adalah lagu pop yang mengetengahkan muzik yang catchy dan mesra pendengar.
“Tambahan pula dengan rap daripada Aman Ra lebih membuatkan lagu ini menarik,” katanya.
Sebelum ini, Hunny pernah tampil dengan album pertama berjudul Pulau Janji pada 2011 dan sebuah Mixtape berjudul GoHard GoStan yang menampilkan lagu Gucci Dowh, kolaborasi Hunny bersama Kayda Aziz.
Untuk muzik video Hello pula, Hunny menjalani penggambaran beberapa bulan lalu dan turut menampilkan rakan-rakan artisnya seperti Sazzy Falak, Reem Shahwa, Kayda, Amelia Henderson, Amber Chia, Tiz Zaqyah, Mu’daz dan Freeze.
Muzik video yang berkonsepkan ceria dan berwarna-warni itu diarahkan Tech & Ego dari KayaButter House.

No comments:

Post a Comment