Tuesday, 8 March 2016

Menjaga kucing umpama bayi




Menjaga kucing umpama bayi
Dari kiri: Wan Fairuz dan Mohd Yazid bersama kucing mereka.
PASIR GUDANG - “Pada mulanya saya membela sepasang kucing kampung untuk melayan minat anak bongsu, Erish Eriqa, 8, namun lama-kelamaan kami sekeluarga menjadi suka dan bertukar membela kucing kacukan,” ujar Rino Borhan, 37.
Rino adalah pemenang Anugerah Khas Politeknik Ibrahim Sultan (Pis) sempena program Cat Welfest 2016 apabila dua kucing, Narnea memenangi kategori kacukan bulu panjang betina dan Bella menjadi johan kategori kacukan bulu pendek betina.
Sub kontraktor itu memberitahu, dia dan isterinya, Balqish Zainal bersama dua anak berumur 12 dan 15 tahun kini mempunyai 15 kucing pelbagai jenis.
“Kami memperuntukkan RM2,000 setiap bulan. Malah, menjaga kucing ini umpama menjaga bayi. Ini kerana, ia turut dihantar ke klinik untuk rawatan bulanan," katanya kepada Sinar Harian.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan termasuklah kategori kacukan bulu pendek betina; kacukan bulu panjang jantan dan kacukan bulu panjang betina.
Piala kemenangan dan hamper disampaikan Pengarah Pis, Rashidah Mustafa.
Program tersebut diselia pelajar semester 5 Diploma Hotel dan Katering menerusi subjek operasi program dan pengurusan sebagai pendedahan kepada mereka mengendalikan program supaya melahirkan graduan prihatin dan kreatif.
Seorang lagi peminat kucing, Wan Fairuz Wan Kadir, 28, pula memenangi kategori kacukan bulu panjang jantan dengan kucingnya yang dipanggil Eggsy.
Surirumah itu mula memelihara kucing tersebut sejak empat tahun lalu bersama suaminya, Mohd Yazid Ahmad, 41, yang bekerja sebagai jurutera bagi mengisi masa lapang mereka.
“Kami sudah biasa pusing seluruh negara untuk sertai pelbagai pertandingan dan banyak juga kemenangan yang diperoleh,” katanya.

No comments:

Post a Comment