LABIS – Seorang lelaki di Taman Seri Emas, di sini, sanggup melepaskan jawatannya sebagai eksekutif kanan di sebuah bank semata-mata disebabkan hobi dan obsesi yang mendalam terhadap barangan lama.
Asrol Talib, 44, berkata, dia yang mula menjadi pencari barangan lama atau pickers sejak tahun 2010 juga tidak pernah menganggap keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai pegawai bank, tindakan yang salah meskipun telah berkhidmat selama 16 tahun ketika itu.
Menurutnya, minatnya menjadi pickers bermula sebelum dia meletakkan jawatan lagi apabila barang pertama yang dibeli ketika itu adalah sebuah walkman berharga RM5 yang suatu ketika dahulu menjadi kegilaan pada zaman remajanya.
“Meskipun walkman tersebut sudah tidak berfungsi lagi ketika dibeli, saya tidak kisah kerana ia mempunyai nilai dan sejarah tersendiri, sekali gus dapat mengimbau kembali kenangan suatu ketika dahulu.
“Sebagai pickers, saya kemudian jual semula barangan diperoleh pada harga berpatutan mengikut keaslian, nilai sejarah dan sentimental kepada mereka yang berminat,” katanya.
Asrol berkata, dalam pasaran barangan antik, kebanyakannya tidak diletakkan harga standard dan sekiranya barang itu susah didapati, ia lebih mahal harganya, selain bergantung kepada pengumpul dan pembeli.
Katanya, faktor nilai ketulenan, sukar didapati, kenangan dan nostalgia turut menjadi pengukur sejauh mana harga sesuatu barangan itu boleh dicapai dan menjadi bahan untuk dikumpulkan sesetengah individu.
“Pickers juga tak pilih sesuatu barangan dan akan cari apa sahaja tidak kira sama ada pakaian, botol, tin minuman, almari, jam, radio, televisyen, logo dan banyak lagi.
“Saya takkan ubah suai barangan yang saya jumpa atau beli, sebaliknya kekalkan seperti keadaan asal supaya keaslian tetap sama seperti dulu dan sejarahnya terpelihara,” katanya.
Dianggap pencari barangan lusuh
Menurutnya, dia juga sanggup merantau ke setiap pelosok negeri ini untuk mencari barangan lama, malah sering disalah anggap sebagai pencari barangan lusuh oleh penduduk setempat.
Katanya, disebabkan dia sering menjadikan lokasi seperti kedai runcit lama, rumah lama dan bangunan tinggal sebagai sasaran kerana baginya barangan lama lebih mudah didapati di sana.
“Jadi, tidak hairanlah sekiranya saya dimarahi dan disalah anggap oleh penduduk setempat, namun apabila saya terangkan kepada mereka yang saya ini pickers, mereka boleh bekerjasama malah turut menunjukkan lokasi sepatutnya.
“Kebanyakan orang juga tidak sangka barangan yang selama ini dibiarkan begitu sahaja di kawasan rumah mereka mempunyai nilai seperti mesin jahit Paff Germany model ke-20 yang saya peroleh di Chaah pada harga RM400,” katanya.
Katanya, ada antara barangan lama yang didapati percuma seperti logo zink Coca-Cola yang diperolehnya di sebuah runtuhan rumah kedai di Endau, Mersing.
Menurutnya, dia kemudian memberitahu rakan pickers dan pengumpul barangan antik mengenai penemuan tersebut dan terkejut apabila seorang pengumpul dari Shah Alam, Selangor sanggup membelinya pada harga RM900.
“Falsafah seorang pickers, mereka tidak boleh ada perasaan sayang untuk jual barangan dicari kepada orang lain dan sebab itu, kebanyakan peniaga di bazar karat memperoleh bekalan barangan daripada kami.
“Ada pembeli sanggup datang dari jauh ke rumah saya semata-mata untuk beli barangan lama yang dapat mengembalikan kenangan mereka dan ada antaranya golongan profesional seperti pensyarah, doktor dan arkitek,” katanya.
Isteri, anak faham minat
Menurutnya, dia bersyukur isterinya, Nur Azlina Abdullah, 40, dan lapan anaknya yang berumur antara 5 bulan dan 17 tahun itu memahami minatnya mencari barangan lama sehingga adakalanya tidak pulang ke rumah selama berhari-hari.
Katanya, obsesinya sebagai pickers juga kini menjadi sumber pendapatan utama buat keluarganya dan kesabaran juga amat penting memandangkan barang yang diinginkan tidak mungkin dijumpai dengan mudah.
“Tapi kini saya juga mampu mengenal dan menilai keaslian sesuatu barangan walaupun ia dikeluarkan sebelum saya dilahirkan lagi.
“Antara barangan yang masih dalam simpanan termasuk dua tong mengisi getah cair dengan ukiran perkataan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diagihkan kepada penoreh getah pada era Tun Abdul Razak Hussein,” katanya .