IBU bapa mana yang tidak mahu melihat anaknya menjawat jawatan tinggi dalam sektor pekerjaan apatah lagi penat jerih hampir 10 tahun itu berjaya membawa segulung Ijazah Sarjana dalam genggaman.
Namun, laluan yang dipilih Adlan Aman, 32, tidak meraih riak gembira di wajah ibunya meskipun pekerjaan itu menjurus kepada bidang yang dipelajarinya sejak melanjutkan pelajaran di peringkat diploma lagi.
Nekad menggunakan van bergerak untuk melampiaskan minatnya dalam seni lukisan, keputusan Adlan nyata mengecewakan ibunya, Wan Anisah Wan Abdullah, yang lebih mengharapkan jawatan pensyarah agar masa depannya lebih terjamin.
Menurut pemegang Ijazah Sarjana Seni Lukis & Seni Reka/ Seni Halus di Universiti Teknologi Mara (UITM) ini, keputusan yang diambil itu tidak pernah disesali.
“Cabaran utama apabila saya membuat keputusan untuk melukis di jalanan adalah dari keluarga sendiri. Saya tahu, mereka inginkan yang terbaik buat saya.
“Namun, saya yakin dengan percaya, rezeki itu rahsia ALLAH SWT. Cuma, ia memerlukan lebih usaha dan kesabaran. Saya sentiasa cuba meyakinkan keluarga bahawa jalan yang saya pilih ini adalah yang terbaik,” katanya.
Menurutnya, sebelum kembali ke Kelantan, dia pernah menjawat tugas guru Pendidikan Seni di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan SMK Seri Chempaka, Damansara.
Lukisan Tok Guru termahal
Berkongsi mengenai cambahan minatnya dalam seni lukis, Adlan memberitahu minat itu mula mekar sejak kecil lagi sehingga ibunya menghantar ke kelas lukisan di Kampung Kraf Tangan.
Katanya, selepas menamatkan pengajian di sekolah menengah, dia mengambil Diploma Seni Lukis & Seni Reka/Seni Halus di UITM Machang.
“Tamat belajar, saya bekerja sebagai guru Pendidikan Seni. Pada tahun 2012, saya berkahwin dan isteri dihantar bertugas ke Sarawak sebagai guru.
“Jadi, saya memilih untuk pulang ke Kelantan, namun tidak mahu terikat dengan waktu bekerja. Jadi, saya mendapat idea untuk melukis di pasar malam Wakaf Che Yeh dan Kampung Kraf Tangan dengan  membuka khemah di situ bersama rakan, Helmi Abdullah.
“Hari pertama, saya hanya meraih RM25 semalaman dengan dua pembeli. Ketika itu, takut, gementar dan cuak semua bercampur baur saat dikerumuni orang untuk melihat hasil kerja kita,” katanya yang kini mampu meraih RM200 hingga RM300 untuk semalaman.
Tambah pemilik syarikat, Adlan Aman Arts ini, dia merupakan pelukis pertama di Malaysia yang menggunakan van bergerak ke lokasi dengan menghasilkan lukisan potret secara langsung.
Tambah Adlan, hasil kerjanya tidak terlalu mementingkan harga, namun lebih fokus kepada kualiti yang dihasilkan untuk memikat hati pelanggan.
“Hanya dengan serendah RM20, pelanggan boleh dapat ‘live potrait’. Biasanya, harga lukisan ini daripada RM20 hingga RM100. Untuk lukisan biasa, paling cepat adalah 10 minit dan paling lama adalah tiga jam.
“Untuk lukisan potret berwarna pula, harga dari RM200 ke atas mengikut jenis dan saiz. Lukisan ini saya tetapkan untuk tempahan sahaja, tidak boleh lukis secara langsung untuk menjaga kualitinya.” katanya.
Siri Monalisa sampai mesej
Selain lukisan potret, Adlan juga turut menerima tempahan lukisan mural atau lukisan dinding di sekitar Kota Bharu termasuk Dataran Ilmu, sekolah dan kediaman.
Sempena Tahun Melawat Kelantan, Adlan menggalas tugas bersama 12 rakannya untuk menyiapkan mural di Dataran Ilmu bermula November tahun lalu.
Mengenai perancangan masa hadapan, Adlan mengimpikan sebuah studio dan galeri khas.
“Selain melukis, saya juga turut melatih beberapa anak muda yang berminat dengan lukisan. Saya juga sedang menghasilkan karya, Siri Monalisa, di mana lukisan yang menggunakan latar Monalisa akan diolah mengikut kesesuaian budaya kita.
“Contohnya, saya menggunakan latar gambar Monalisa dengan memakai tudung atau selendang dengan membawa mesej menutup aurat.
“Selain itu, saya akan hasilkan gambar bersiri ini untuk dikaitkan dengan isu-isu semasa mengikut perkembangan hari ini,” katanya.