Saturday, 12 March 2016

Uniknya timbang, sukat lama



Uniknya timbang, sukat lama
Penimbang emas yang digunakan pada zaman dahulu.
TAIPING - Sejak zaman dahulu masyarakat sudah mula menggunakan pelbagai jenis peralatan timbang dan sukat dalam aktiviti harian mereka, namun ia berubah mengikut peredaran masa.
Walaupun hari ini kebanyakan peralatan timbang dan sukat tidak lagi digunakan, tetapi ia masih disimpan untuk dijadikan rujukan serta tatapan generasi hari ini.
Inisiatif itu turut dilaksanakan Muzium Perak, Taiping apabila menjayakan Pameran Alat Timbang dan Sukat yang bermula pada awal Februari lalu sehingga 30 Jun 2016.
Sebaik melangkah masuk ke perkarangan pintu Muzium Perak, setiap mata pengunjung pasti akan terpukau melihat lebih 120 koleksi alat timbang dan sukat tradisional pelbagai jenis.
Penggunaan alat timbang dan sukat tradisional ini sememangnya sinonim dengan masyarakat dahulu terutama untuk aktiviti harian dan perniagaan mereka.
Berbeza dengan peralatan timbang yang digunakan hari ini, peralatan timbang dahulu lebih unik dan kebanyakannya tidak lagi digunakan pada masa kini.
Peluang kenali alatan terdahulu
Pengarah Muzium Perak, Nor Hanisah Ahmad berkata, pihak muzium berharap orang ramai mengambil peluang ini untuk melihat sendiri pelbagai jenis alat timbang dan sukat yang digunakan masyarakat dahulu.
Menurutnya, pengunjung bukan sahaja dapat melihat alatan tersebut tetapi dalam masa sama mengetahui asal usul dan sejarah perkembangannya.
“Jika dahulu penggunaan kaedah timbang sukat adalah dari sistem imperal tempatan kemudian berubah kepada sistem metrik yang lebih tepat serta seragam mengikut piawaian sejagat menggunakan sistem unit antarabangsa (SI) bermula 1 Januari 1982,” katanya.
Tatkala mengimbas kembali sejarah sistem timbang dan sukat di Malaysia, Nor Hanisah berkata, pada zaman dahulu masyarakat menggunakan gantang sebagai penyukat utama khususnya bagi penduduk yang menanam padi.
“Selain itu, kepul, cupak dan leng digunakan untuk menimbang beras padi untuk skala yang lebih kecil.
“Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar bila kaedah tersebut mula digunakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Nor Hanisah berkata, semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, sistem timbang dan sukat seperti kati, tahil dan bahara yang dipertanggungjawabkan kepada Syahbandar telah diperkenalkan.
“Ketika itu, sistem kati dan tahil digunakan untuk menimbang emas, perak, bahan wangian, kapur dan batu permata.
“Manakala, sistem bahara pula digunakan untuk menimbang rempah, lada, bunga cengkih, dan jagung.
“Alat penimbang yang digunakan adalah dacing,” katanya.
Tambah Nor Hanisah, tidak lama selepas itu,  Akta Timbang dan Sukat Meter 1971 atau Akta 40 diperkenalkan bagi mengawal selia timbang dan sukat serta peralatan yang digunakan.
“Akta ini kemudiannya dimansuhkan oleh Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71),” katanya.
Dedah pengetahuan kepada generasi muda
Jelasnya, antara tujuan utama pameran tersebut dilaksanakan adalah untuk memberikan pengetahuan kepada generasi muda mengenai peralatan timbang dan sukat tradisional yang pernah digunakan suatu masa dahulu.
“Pameran ini diadakan memandangkan generasi muda kini kebanyakannya tidak mengetahui dan tidak pernah melihat peralatan lama yang kini tidak lagi digunakan dalam urusan perniagaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment