ABU DHABI - UAE. Pengguna jalan raya yang makan semasa memandu akan dikenakan denda sehingga Dh1,000 (RM1,058 ) dan 12 mata denda dalam rekod trafik di bawah undang-undang trafik persekutuan yang akan dikuatkuasakan di UAE.
Ia sebagai sebahagian daripada kempen polis untuk membendung kemalangan jalan raya, kata pegawai kanan polis.
Penolong Komander Operasi Polis, Mejar Jeneral Mohammed Saif Al Zafeen berkata, kesalahan terbaharu juga termasuk makan, minum, membaca, bersolek dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Mohammed Saif berkata, polis akan diberi kuasa untuk mendenda pemandu yang bersalah dan berkata kesalahan dan denda akan ditentukan oleh anggota polis tersebut.
"Semua kesalahan ini akan dikelaskan di bawah satu kesalahan yang melibatkan kegagalan oleh pemandu untuk menumpukan perhatian di jalan raya dengan melakukan perkara-perkara lain," katanya kepada Al Bayan Daily.
Katanya lagi, undang-undang ini juga membolehkan pihak berkuasa menyita kereta pesalah jika dibuktikan bahawa kesalahan itu mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.