BAKAL bersiaran bermula 10 April nanti setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria dan Astro Ria HD, program terbaharu terbitan Astro, Gempak Superstar menampilkan barisan pelakon popular tempatan menyerlahkan bakat mereka sebagai penyanyi.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, pemilihan pelakon berdasarkan kemampuan menyanyi menerusi uji bakat.
"Kita tidak pilih secara rawak, sebaliknya uji bakat diadakan terlebih dahulu untuk lihat  kekuatan mereka dalam bidang nyanyian.
"Selepas ujian dan penilaian dilakukan, baru peserta dipilih," katanya.
Akui Raqim, terdapat ramai pelakon ingin sertai Gempak Superstar, tetapi kerana terikat dengan jadual dan komitmen lain, mereka terpaksa melepaskan peluang," katanya pada sidang media Gempak Superstar di Live House KL.
Tambah Raqim, 10 peserta terpilih bakal memberi kejutan kepada penonton dan peminat industri seni.
"Ada antara peserta berbakat dalam bidang nyanyian, namun tidak semua.
"Menerusi program ini, bakat tersebut akan dicungkil dan secara tidak langsung bakat terpendam pelakon-pelakon ini dapat ditunjukkan," katanya.
Seramai 10 pelakon terlibat adalah Arja Lee, Sofi Jikan, Nazim Othman, Ryzal Jaafar, Dazrin Kamarudin, Siti Elizad, Tasha Shilla, Raja Ilya, Izreen Azminda dan Sherry Ibrahim.
Mengulas lanjut mengenai program ini, jelas Raqim, setiap episod menyaksikan cabaran berbeza ditempuhi setiap peserta.
"Cabaran tertentu akan diberi bagi menguji kehebatan peserta menyanyikan pelbagai genre lagu," katanya.
Pada sidang media berkenaan, kelihatan dua pesertanya pernah merakamkan single sebelum ini.
Bercakap mengenai perkara itu, jelas Raqim, meski pun pernah menghasilkan single, tetapi kerjaya nyanyian mereka tidak menjadi.
"Ia bukan tiket atau alasan mereka menjadi juara, sebaliknya dalam program lain juga ada peserta yang mempunyai bakat besar dan punya kelebihan tidak diangkat sebagai juara.
"Jadi, penghasilan single tersebut juga bukan bermakna mereka jadi saingan kepada peserta lain," katanya.
Gempak Superstar turut melibatkan empat nama besar dalam industri seni iaitu Datuk Ramli MS sebagai pengarah muzik dan vokal, Datin Marlia Musa dan Pat Ibrahim (penasihat drama) dan Hanafi Rosdi (penasihat koreografi).
Manakala peminat diberikan kuasa mengundi sebanyak 50 peratus bagi artis kesayangan mereka dan markah selebihnya ditentukan juri profesional.
Juara bawa pulang wang tunai RM100,000, naib juara RM25,000, tempat ketiga RM15,000 dan tempat keempat RM10,000.
Program realiti ini dihoskan oleh Scha Al Yahya dan Sharnaaz Ahmad.