SEREMBAN – Kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kemelut pemecatan Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan,‎ Datuk Mohd Jan Abdul Ghani, baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang meminta supaya jawatankuasa itu ditubuhkan bagi melakukan siasatan terperinci untuk mengenal pasti kemelut yang berlaku.
“Dalam mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang minggu lalu telah diputuskan dua perkara,  iaitu minta pihak berkenaan berbaik-baik seperti sedia kala agar kemelut yang ada dapat diselesaikan sebaik mungkin.
“Keduanya meminta kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas untuk melakukan siasatan terperinci dengan melibatkan beberapa individu yang mahir dalam bidang adat, undang-undang dan agama di mana ia diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir merasmikan Program Kejohanan Futsal Tertutup Piala Menteri Besar Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi dekat sini, pagi tadi.
Menurutnya, laporan mengenai siasatan itu  akan dibentang kepada Dewan Keadilan dan Undang,  Rabu depan.
“Jadi dalam tempoh ini, eloknya berbaik-baik semula kerana tiada yang lebih baik selain permuafakatan dan mengharmonikan semula keadaan," katanya.