NAMA Reza Hasbi barangkali agak jarang didengari. Bagaimanapun dia bukannya bakat baharu yang sedang mengintai ruang di dalam industri seni.
Sebaliknya pemilik nama sebenar Mohamad Ridzuan Hasbullah ini sudah sudah menyertai industri seni sejak bergelar Naib Juara dalam rancangan realiti Pilih Kasih pada 2009 lagi.
Biarpun sudah tujuh tahun berkecimpung di dalam industri seni, Reza, 28, tidak menafikan, namanya tidak segah pelakon lelaki lain.
Justeru ujarnya, dia berharap nasibnya akan berubah selepas membintangi filem Showdown The Movie yang sudah pun mula ditayangkan di pawagam sejak 7 April lalu.
"Tidak dinafikan saya menumpang populariti program Showdown kerana program ini amat dikenali sebelum ini.
"Jadi bila terlibat dengan filem yang diinspirasikan dari program berkenaan, saya berharap orang akan lebih mengenali saya selepas ini.
"Bukan itu sahaja, saya juga berharap akan diberi ruang dan peluang untuk membintangi drama dari mana-mana stesen TV, walaupun saya dilahirkan menerusi program RTM," ujarnya kepada Zass ketika ditemui baru-baru ini.
Mengimbau penglibatannya di dalam filem berkenaan, Reza berkata, sebelum menjadi pelakon, dia mempunyai kumpulan tarian sendiri yang dinamakan Blazin Squad.
Bagaimanapun selepas menyertai Pilih Kasih, dia berundur dari kumpulan berkenaan.
"Saya merupakan B-Boy sejak dari sekolah dan menari hanya untuk seronok sahaja.
"Lepas mula berlakon, saya tidak lagi menari, tetapi Blazin Squad tetap aktif sehingga memasuki pertandingan.
"Jadi bila ada tawaran untuk berlakon filem mengenai tarian, saya tidak berfikir panjang untuk menerima.
"Walaupun berdebar, tapi saya cabar diri untuk membawakan watak yang belum pernah saya watak.
"Cuma bila sudah terlibat di dalam filem ini, saya berharap diberikan lebih banyak peluang untuk membawakan watak sebagai penari sebab saya rasa tak puas berlakon dalam filem ini," katanya.
Kecederaan kekal
Bercerita lanjut mengenai wataknya sebagai Kimi di dalam filem Showdown The Movie, Reza berkata, dia kini masih berasa sakit di atas insiden yang berlaku semasa babak awal filem berkenaan.
"Untuk babak pertama melibatkan tarian di tepi pantai, cuaca ketika itu sangat panas dan lantai pentas jadi lembut.
"Jadi semasa membuat satu rutin, jari saya terhimpit sehingga membengkak dan sepanjang penggambaran ia bengkak dan sakit. Tapi kerana Kimi, saya kuatkan juga semangat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Reza berkata, dia akan menjalani penggambaran drama 15 episod untuk Hypp TV Mei ini dan sebuah telefilem, Berhantunya Raya, tidak lama lagi.