TIADA penyingkiran dilakukan dalam konsert minggu pertama Gempak Superstar yang berlangsung di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, Johor Bahru, kelmarin.
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, tindakan itu dilakukan demi memberi peluang dan ruang kepada 10 pelakon berbakat mempersiapkan diri.
“Ini baru minggu pertama jadi, adalah tidak adil untuk berbuat demikian. Lagipun, bukanlah satu perkara mudah bagi seseorang pelakon keluar daripada  kepompong selesanya lantas mencuba sesuatu yang berada di luar kemampuannya.
“Apa yang boleh dikatakan, ruang dan peluang masih lagi ada untuk mereka mengasah bakat dalam bidang nyanyian,” katanya kepada media.
Namun, kata Raqim, setiap peserta perlu mengambil peduli akan kritikan membina yang dilemparkan oleh juri.
“Semua juri yang dilantik mempunyai kredibiliti masing-masing. Malah, setiap perbincangan di antara juri berlaku secara semula jadi dan bukannya dirancang.
“Jadi, setiap peserta perlu belajar sesuatu daripada mereka,” katanya.
Kecewa dengan persembahan?
Dalam pada itu, juri tetap Gempak Superstar, Fauziah Ahmad Daud mengakui kecewa dengan persembahan daripada 10 pelakon yang terbabit.
Bahkan, Fauziah atau lebih mesra disapa sebagai Ogy mengakui tidak dapat ‘tangkap’ akan objektif rancangan tersebut.
“Terus-terang, mungkin kerana saya melihat setiap peserta sebagai pelakon, jadi saya agak kekok melihat mereka mencuba untuk menjadi penyanyi. Apabila saya mengkritik, saya mahukan ‘lebih’ bahkan saya turut mengharapkan elemen kejutan.
“Setiap peserta ada tiga minit untuk melakukannya malah ada juga yang tidak ‘mesra’ berinteraksi dengan kamera dan penonton,” katanya.
Ini kerana katanya, adalah menjadi harapannya agar setiap pelakon ini menjadikan program realiti ini tempat untuk mengasah bakat sebagai pelakon pentas muzikal.
“Sebagai orang lama yang sudah bermain dengan pentas, saya mengharapkan agar mereka ambil ruang itu untuk membangun dan mengembangkan proses tersebut,” katanya.
Sherry ungguli minggu pertama
Dalam konsert pertama, pelakon Sherry Ibrahim berjaya dinobatkan sebagai peserta terbaik selepas membawakan lagu Kalis Rindu nyanyian asal Elyana.
“Alhamdulillah,  saya tidak menyangka persembahan saya mampu mendapat undian tertinggi. Namun, ia sebenarnya memberikan saya sedikit tekanan sementelahan lagi untuk minggu kedua saya mendapat lagu yang bernada tinggi dan agak sukar untuk dibawakan,” katanya.
Kedudukan undian konsert dituruti oleh Nazim Othman yang menyanyikan lagu Nirmala, Siti Elizad (Tiada Lagi), Izreen Azminda (Ikut Rentakku), Soffi Jikan (Ratuku), Raja Ilya (Terukir Di Bintang), Ryzal Jaafar (Mengenangmu), Arja Lee (Penasaran), Dazrin Kamarudin (Hanya Aku) dan Tasha Shilla (Wanita Terbahagia).
Gempak Superstar dibarisi empat nama besar selaku tenaga penasihat iaitu Datuk Ramli MS selaku pengarah muzik, Datin Marlia Musa (penasihat vokal), Pat Ibrahim (penasihat drama dan Hanafi Rosdi (penasihat koreografi).
Barisan juri tetap pula ialah Ogy dan Amy Mastura manakala pengarah popular, Michael Ang tampil selaku juri jemputan. Program ini menggunakan sistem pemarkahan 50 peratus oleh juri tetap dan selebihnya berdasarkan undian penonton melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Undian secara online juga boleh dilakukan menerusi laman web http://ift.tt/1X6Db9R mulai 4 April lalu.