PASIR GUDANG - Rumah persinggahan pemain bola sepak Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Mohd Zaquan Adha Abd Razak di Taman Bukit Dahlia, Seri Alam, dekat Pasir Gudang di sini dipecah masuk semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenda Jokhiri Abd Aziz berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.20 petang semalam daripada polis peronda yang menjalankan tugas di kawasan berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati suspek telah masuk dengan cara mengumpil tingkap bahagian dapur rumah iaitu di bahagian belakang rumah yang mengadap lorong belakang," kata beliau menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata rumah pemain bola sepak itu tidak mempunyai grill dan tiada kawalan kamera litar tertutup (CCTV).

Sementara itu, Mohd Zaquan Adha berkata, beliau mengalami kerugian lebih RM200,000 selepas dipecah masuk tiga perompak.

Mohd Zaquan Adha atau lebih dikenali sebagai Zaquan, 29, berkata, ketika kejadian rumahnya tidak berpenghuni kerana beliau berada di Sabah, manakala isterinya, Ayu Raudhah Che Wan, 31, bersama dua anaknya pulang ke rumah keluarganya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, beliau terkejut sebaik dimaklumkan oleh jiran melalui telefon bimbit kira-kira jam 2 petang mengenai kediamannya telah dipecah masuk tiga lelaki.

“Saya berada di Kota Kinabalu, Sabah berikutan perlawanan Liga Perdana antara JDT II menentang Sabah, manakala Ayu bersama dua anak kami berusia tiga tahun dan dua tahun berada di rumah keluarga di Kuala Lumpur.

“Saya memang terkejut sebaik diberitahu jiran mengenai rumah saya dipecah masuk perompak dan bernasib baik kerana isteri dan anak-anak tiada di rumah,” katanya.

Menurutnya, pelbagai jenis beg tangan berjenama antaranya dan jam tangan berjenama miliknya dan isteri juga telah dilarikan perompak.