PELAKON veteran, Datuk Zulkifli Zain, yang popular dengan filem 'Sayang Anakku Sayang' pada 1981, kini dalam keadaan stabil selepas diserang penyakit jantung Isnin lepas.
Isterinya Datin Normala Omar, 58, berkata suaminya, yang turut diserang strok ahmar dan lumpuh separuh badan pada Januari lepas, didapati mengalami serangan jantung ketika sedang berehat selepas menjalani sesi fisioterapi di sebuah hospital di sini.
"Pada mulanya beliau (Zulkifli) batuk-batuk. Selepas doktor periksa, suhu badannya turun secara mendadak dan doktor terus meminta kami membawanya ke HKL (Hospital Kuala Lumpur) dengan segera.
"Selepas dimasukkan ke HKL, doktor sahkan suami saya diserang sakit jantung," katanya kepada Bernama ketika lawatan Persatuan Karyawan di HKL di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez dan artis veteran lain termasuk Rozita Rohaizad dan S. Rohani.
Dalam pada itu, Normala berkata doktor memberitahu bahawa Zulkifli, 70,  boleh pulang tidak lama lagi.
"Selepas ini, kami akan tinggal di rumah anak sulung kami, Norzizi (she) di Shah Alam," katanya.
Zulkifli ketika ditanya mengenai kesediaannya kembali dalam industri seni setelah pulih sepenuhnya, berkata walaupun keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan, beliau akan membantu membimbing artis lain yang memerlukan bantuan.
Antara filem lakonan yang pernah dibintangi Zulkifli sebelum ini ialah Kelisa (1992), Kecil-Kecil Cili Api (1996), Anak Mami Kembali (2005), dan Cicakman (2006).