SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang menyiasat dan mengawasi 37 ajaran sesat yang bergiat aktif di negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Haris Kasim berkata, terdapat satu ajaran sesat dilihat lebih berleluasa sejak kebelakangan ini.
“Ajaran ini pada asalnya mematuhi syariat. Bagaimanapun, pengikutnya mengamalkan ajaran terpesong di sebalik ajaran itu.
“Ia jadi terpesong apabila pengikutnya mengakui mereka boleh berbicara dengan Tuhan serta boleh bertemu dengan nabi setiap malam,” katanya.
Menurutnya, Jais telah mengenal pasti aktiviti ajaran sesat ini aktif di kawasan Gombak.
“Kebanyakan ajaran sesat ini telah dibawa masuk oleh orang luar ke negara ini terutamanya dari Indonesia dan India.
“Mereka bawa ajaran bertentangan dengan ajaran yang sebenar dan bertindak menyebarkan kepada orang ramai khususnya kepada penduduk tempatan.
“Kemasukan mereka ke negara ini bersama ajaran sesat sukar dikawal kerana sesiapa sahaja berhak memasuki ke negara ini,” katanya.
Beliau berkata, ajaran sesat ini mudah berkembang di negeri ini berikutan sikap umat Islam sendiri yang mudah terpengaruh anasir luar.
“Mereka bersikap menerima sebarang ajaran secarabulat-bulat tanpa menyelidikinya terlebih dahulu.
“Bahkan mereka gemar ambil pendekatan jalan pintas, contohnya dalam situasi nak masuk syurga...mereka tak perlu solat dan juga kalau sakit...tak perlu sebarang pembedahan sebaliknya hanya melalui bacaan ayat-ayat tertentu,” katanya.
Haris berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka yang terjebak dengan ajaran berkenaan bermula dengan niat untuk berubat.
“Cara berubat yang dilaksanakan mereka berselindung di sebalik ayat al-Quran sebelum mereka dipengaruhi secara diam-diam.
“Perkara ini telah disebut menerusi khutbah Jumaat hari ini (semalam) supaya orang ramai lebih peka dan tidak terjebak dengan gejala yang merosakkan akidah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Jais akur arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar kegiatan ajaran sesat terus dibanteras.
Katanya, sultan menyokong tindakan yang dilakukan Jais dan meminta agar rakyat di negeri ini tidak mudah terpengaruh.
“Justeru itu, kita akan terus membuat serbuan dan tangkapan serta memantau ajaran sesat secara berterusan,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan berikutan pengaruh ajaran sesat yang sehingga kini gagal dibanteras.