DI Malaysia, Ari Lasso mungkin tidak sepopular nama Once atau  Ahmad Dhani, namun di negara kelahirannya itu, penyanyi ini sebenarnya sudah berada di kelas tersendiri.
Lebih dua dekad, bekas vokalis Dewa 19 ini masih mampu mengekalkan aura dan pengaruhnya terhadap peminat.
Malah, lebih membanggakan, Ari juga diangkat sebagai antara penyanyi legenda yang masih berbisa di kala kebanjiran bakat baharu.
“Sebenarnya sebagai manusia biasa, perjalanan selama 24 tahun ini sudah melebihi daripada apa yang pernah saya impikan. Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian saya.
“Tapi sebagai pemuzik dan anak seni, saya tidak boleh berhenti untuk berkarya kerana itu adalah minat saya.
“Kini, saya berada di pertengahan jalan dan seharusnya saya perlu terus menghasilkan muzik yang lebih baik dan juga persembahan yang mantap demi memberi kepuasan kepada peminat yang tidak pernah berhenti daripada menyokong saya,” jelasnya pada  Majlis Pelancaran lagu terbaharu Kamu Egois dan Album Terbaik Dari Ari Lasso, baru-baru ini.
Selain memuatkan single baharu itu, album kompilasi tersebut turut memuatkan 13 seleksi lagu hit seperi Aku Dan Dirimu, Kisah Kita, Jika, Hampa, Cintailah Aku Sepenuh Hati dan banyak lagi.
Pada masa industri hiburan semakin dibanjiri ramai bakat baharu, penyanyi berusia 34 tahun ini yakin, kerja kerasnya selama ini sudah berhasil untuk terus memikat hati peminat tegarnya.
“Muzik bukanlah seperti produk di pasaran runcit, tapi ia adalah produk seni yang ada keistimewaannya yang tersendiri.
“Apabila kita sudah melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin sebagaimana saya jalani karier ini dalam tempoh lebih dua dekad, saya yakin ia sudah mampu memikat peminat tegar biarpun kemunculan bakat baharu semakin bertambah.
“Ini dapat dibuktikan, apabila setiap kali saya terlibat dengan persembahan konsert, peminat tidak melepaskan peluang untuk hadir melihat sendiri persembahan saya,” ujarnya gembira.
Tambah Ari, kemunculan bakat baharu juga sebenarnya adalah satu perkembangan yang positif.
“Rata-rata yang datang bertemu saya bukan sahaja mahu belajar vokal tapi lebih kepada perbincangan mengenai perjalanan karier saya.
“Mereka meminta nasihat dan tip untuk terus kekal dalam industri ini dan sebagai penyanyi yang lebih senior, saya sangat berbesar hati untuk berkongsi segala pengalaman itu,” ujarnya.

Detik terbaik
Mengimbau kembali kejayaan kariernya sebelum ini, Ari berkongsi momen terbaik sepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan seberang.
“Ketika Dewa 19 menjadi band nombor satu di Indonesia, saya rasakan ia adalah puncak karier saya. Bayangkan, ada satu ketika kami tidak dapat pulang ke rumah dua hingga tiga bulan kerana jadual persembahan yang terlalu padat di seluruh Indonesia.
“Sehinggalah saya tersingkir dari Dewa 19. Rasanya seperti karier sudah berakhir dan saya tidak pernah menyangka semuanya kembali seperti sedia kala.
“Ternyata, masih ada ruang untuk saya meneruskan karier ini sebagai penyanyi solo malah, dengan bergerak sendiri lebih banyak kepuasan yang saya peroleh,” katanya yang mengakui masih berhubung baik dengan anggota Dewa 19.
Lebih memilih untuk memberi fokus kepada karier, Ari menafikan kerja kerasnya selama ini adalah untuk meraih populariti.
“Bagi saya populariti adalah satu bonus dan itu bukan tujuan utama saya masuk ke dalam industri ini.
“Kalau saya dibandingkan dengan selebriti lain, mungkin saya kalah. Lagi pun saya sangat jarang muncul di kaca televisyen, tapi pada masa yang sama saya masih mempunyai ikatan yang kuat dengan peminat.
“Tetapi sejak beberapa bulan ini, nama saya semakin popular mungkin kerana penglibatan saya menerusi The Voice Indonesia,” katanya sambil tertawa kecil.