Tuesday, 17 May 2016

Aura Slam kekal memikat




Slam

PUAS! Hanya itu ungkapan yang mampu diungkapkan saat menonton konsert Kurnia Slam, malam kelmarin.
Persembahan selama dua jam itu dihidangkan dengan lebih 20 seleksi lagu-lagu popular Slam dengan lontaran vokal Zamani yang cukup padu, seolah-olah mendengarnya melalui pita rakaman kaset pada era 1990-an dahulu.
Kumpulan yang mula bertapak pada tahun 1992 cukup lama bertahan dengan muzik mereka yang malar segar.
Jika kali pertama kemunculan mereka dahulu, Slam pernah diduga dengan evolusi muzik serta perjuangan solo Zamani dalam bidang seni, ia sedikit pun tidak melemahkan riwayat seni mereka, malah sehingga kini masih lagi teguh.
Sudah 20 tahun berlalu tanpa sebarang persembahan berskala besar, Slam berjaya membuktikan aura mereka masih kuat dalam memikat hati penyokong tegarnya.
Kerinduan bertahun-tahun peminat sekali gus telah mengetepikan segala pahit manis yang dilalui Slam yang dianggotai oleh Zamani (vokal), Shah (gitar utama), Man (dram), Ajak (gitar kedua), Eddie (keyboard) dan Lily (bass) selama mereka meniti perjalanan seni ini.
Kesungguhan Slam berhempas pulas sejak beberapa bulan ini juga, seakan terbalas apabila Konsert Kurnia Slam yang berlangsung di StarXpo Centre Kenanga Wholesale City (KWC) Kuala Lumpur malam kelmarin dibanjiri 6,000 peminatnya.
Terus membuktikan Slam masih relevan apabila kehadiran peminat generasi muda turut berasak-asak untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert anjuran Urban Creative Synergy itu.
Perasaan teruja rata-rata peminat tegar Slam turut mengharapkan konsert pada malam itu mengembalikan kenangan lama, selain mengubati kerinduan yang dipendam selama ini.
Tidak perlukan sebarang kejutan, aksi santai Slam sepanjang tiga segmen membuai perasaan peminatnya.
Bermula pada pembukaan konsert, Slam mendendangkan seleksi lagu seperti Sinar Menunggu, Biarkannya, Maria Mariana, Tak Mungkin Berpaling dan Entah Mengapa sudah cukup memukau setiap peminat yang memenuhi ruang legar konsert itu.
Memang tidak dinafikan, setiap karya yang disampaikan Slam mempunyai magis tersendiri ditambah dengan susunan muzik lebih segar ditampilkan oleh pengarah muzik konsert iaitu Shah sendiri mereka memberi kelainan dan pengalaman baharu buat penonton yang hadir.
Lebih mengagumkan, 20 tahun berlalu, tiada yang berubah mengenai lontaran vokal Zamani begitu juga dengan kehebatan anggota yang lain yang masih berbisa dengan kepakaran masing-masing.
Hasrat kumpulan ini yang hanya mahu menjadikan konsert berlangsung hampir dua jam itu menghiburkan dan memberi kesan mendalam terhadap peminatnya dilihat benar-benar tercapai.
Penghargaan dari Slam
Persembahan pada malam itu diteruskan dengan seleksi lagu-lagu hit seperti Kembali Merindu, Mentari Muncul Lagi, Biarkan Ia Pergi dan Ranting Impian.
Konsert pada malam itu turut dimeriahkan dengan penyanyi undangan Ronnie Hussein dan Hazama yang masing-masing mendendangkan lagu Terasing Dalam Sepi dan Kita Terpaksa Bermusuhan.
Enggan mencacatkan malam penuh bermakna itu, Ronnie dan Hazama mengagumkan peminat dengan lontaran vokal mantap sehingga penonton tidak lekang menghayati persembahan itu sehingga ke penghujungnya.
Selain memberi laluan kepada muka baharu, Slam turut mengisi malam bermakna itu dengan memberi penghargaan dan penghormatan terhadap nama-nama besar yang bertanggungjawab memberi kejayaan karier seni mereka menerusi segmen unplugged dengan iringan seruling oleh Mohram.
Antara lagu yang dinyanyikan dalam segmen tersebut adalah Buat Seorang Kekasih, Sendiri, Kasih dan Syair Si Pari Pari.
Selain mempersembahkan nyanyian tribute, Slam turut mengundang dua komposer yang banyak berbakti dalam menaikkan nama mereka dalam industri hiburan iaitu Saari Amri dan Aidit Alfian.
Tidak hanya menonton, Saari Amri turut menyanyi bersama Zamani menerusi lagu Kembali Terjalin. Paduan komposer dan penyanyi ini membuai rasa peminat.
Masih mengekalkan energi luar biasa, Zamani meneruskan persembahan pada segmen kemuncak dengan lagu Nur Kasih, Manisnya Rindu, Tiada Aku Jemu, Jika Kau Rasa Getarnya dan Kurnia.
Koleksi lagu malar segar itu nyata membangkitkan mood ‘throwback’ penonton untuk tidak melepaskan peluang menyanyikannya bersama-sama.
Persembahan penutup, disampaikan dengan nyanyian lagu, Gerimis Mengundang. Zamani memanggil rakan-rakan artis era 1990-an yang hadir untuk berada di pentas memeriahkan lagi suasana penutup konsert tersebut.
Secara keseluruhan, konsert ini dilihat bukan semata-mata untuk mengubat kerinduan, malah boleh dikatakan sebagai langkah mula Slam kembali ke pentas secara total memandangkan aura mereka yang masih kuat.
Sudah pasti, impian peminat tegar kumpulan ini mahukan lebih daripada ini, atau tidak konsert berskala besar seperti ini diadakan di lokasi berbeza pula. Apa kata survey?

No comments:

Post a Comment