JOHOR BAHRU - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah dugaan dihadapi seorang wanita apabila suaminya kini terlantar sakit akibat barah hidung tahap empat.
Zamatul Habsah Zakaria, 45, yang bekerja di sebuah kilang cat di Tebrau, berkata, disebabkan keadaan suaminya, Abd Mutalib Ngahat, 47, yang memerlukan perhatian sepenuhnya, mungkin dia perlu mengambil keputusan berhenti kerja.
"Suami kini hanya terlantar di rumah ibu mentua di Lorong Bakti Kiri, Jalan Rahmat, Kampung Melayu Majidee, di sini.
“Buat saya ini, saya terpaksa minta ihsan majikan untuk cuti bagi menjaga suami dan menguruskan anak-anak yang masih sekolah, tapi mungkin saya akan berhenti kerja untuk menguruskan keluarga.
“Sebenarnya saya tinggal di Masai, Pasir Gudang, tetapi sejak suami jatuh sakit, kami menumpang sementara di sini (rumah mentua) untuk memudahkan kami berulang-alik ke Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya.
Zamatul Habsah berkata, dia sendiri tidak menyangka suaminya yang bekerja sebagai pekerja hotel sebelum ini, menderita barah hidung berikutan sakit mata yang dialaminya sejak Disember tahun lalu.
“Selepas beberapa kali mendapatkan rawatan di klinik kerajaan dan swasta, kami akhirnya dimaklumkan suami menghidap barah hidung tahap empat pada Mac lalu.
“Mula-mula pada Disember tahun lalu, suami hanya mengadu sakit mata dan kejang kaki kanan. Kami ada pergi ke klinik kerajaan dan swasta tetapi ketika itu, doktor tak dapat kesan penyakit suami," katanya.
Menurutnya, kesan penyakit itu menyebabkan gigi atas suaminya dibuang, mata sebelah kanan tidak dapat melihat dan telinga kanan juga tidak boleh mendengar.
"Saya juga terpaksa berulang-alik dari rumah di Masai ke Kampung Melayu Majidee kerana anak sekolah di sana.
"Doktor memaklumkan suami tidak boleh dibedah, hanya boleh jalani rawatan radioterapi dijangka Mei ini. Sepatutnya suami perlu duduk di hospital, tetapi mungkin dia kuat semangat melawan penyakitnya," kata ibu enam anak berumur 5 hingga 23 tahun ini.
Zamatul Habsah berkata, dia juga turut berikhtiar mendapatkan rawatan alternatif.
“Sekarang beginilah keadaan suami, hanya terlantar dan perlu pakai lampin pakai buang, makan bijirin lembut dan minum susu sahaja.
"Saya juga risau perbelanjaan kami sekeluarga. Majikan suami ada beri gaji penuh untuk dua bulan dan separuh gaji untuk dua bulan lagi.
“Saya bimbang ia tidak mampu bertahan kerana saya tak bekerja.  Saya risau keadaan selepas empat bulan ini, dengan kos lampin pakai buang dan keperluan anak,” katanya. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zamatul Habsah di talian 012-7597223 atau salurkan ke akaun Maybank (Zamatul Habsah) 151212922170.