Khairun bersama isterinya (kiri) dan ibu mertua menunjukkan tanda bagus dengan perniagaan sushi buah yang dihasilkannya.
LAZIMNYA, hidangan makanan sushi di restoran kebanyakannya dihidangkan bersama ikan salmon mentah, bagaimanapun bagi sesetengah tempat termasuk di negara luar, ada yang diubah suai menjadi sushi berasaskan buah-buahan.
Namun, bagi penduduk di Seremban, hidangan sushi buah belum begitu meluas menyebabkan ia menjadi fenomena kepada penduduk setempat apabila dihasilkan seorang usahawan yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan online.
Ternyata kelainan yang dihasilkan berbaloi apabila walaupun tidak sampai seminggu menjual secara online, sambutan sangat memberangsangkan.
Menurut pengusahanya, Mohammad Khairun Nizam Mokthar, 24, idea membuat sushi buah timbul sejak dia terbaca artikel mengenai risiko makan makanan mentah termasuk sushi.
Bermula dari situ, katanya, dia nekad menghasilkan sushi yang berkhasiat dan baik untuk kesihatan serta mudah diterima ramai.
“Saya seorang penggemar sushi, apa juga jenis sushi sama ada berasaskan bahan mentah atau sebaliknya saya akan makan. Jarang sekali saya menolaknya.
“Tapi pada suatu hari, saya terbaca mengenai bahaya makan makanan mentah termasuk sushi.
“Pada mulanya, saya kecewa juga dan tidak mahu percaya sepenuhnya mengenai maklumat yang disebarkan di laman sosial itu. Tapi semakin hari, hati mula rasa tak sedap, serba sedikit ‘termakan’ juga maklumat yang dipaparkan itu.
“Bermula dari situlah saya berfikir untuk mencipta sushi berasaskan buah bagi membolehkan saya terus makan makanan kegemaran saya ini, sekali gus komersialkannya,” katanya.
Menurutnya, idea asal resepi makanan itu adalah dari ibunya, Norida Shaari yang sebelum ini selalu membuatkan pulut buah dan dari situ mula timbul inspirasi menghasilkan sushi buah.
"Pada mulanya dia hanya membuat promosi secara suka-suka di sebuah kumpulan laman sosial Facebook. Tak sangka pula ia mula menjadi viral dan akhirnya menerima banyak tempahan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pinggiran Senawang, Seremban.
Mohammad Khairun berkata, sushi buahnya itu mengunakan tiga buah utama iaitu buah kiwi, buah naga dan mangga, selain bahan utama pulut nasi santan dan rumpai laut.
"Setiap bungkusan mengandungi enam ketul sushi termasuk kuah santan pekat berwarna hijau dan kuning bagi menggantikan wasabi, serta dijual dengan harga RM5," katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia hanya menerima tempahan sekitar 30 pek sahaja tetapi kini dia menerima tempahan lebih 100 pek dalam tempoh sehari.
Malah, katanya, ada masanya dia terpaksa menolak tempahan kerana tidak cukup kakitangan untuk membuatnya memandangkan dia sendiri mempunyai kerja tetap lain.
“Alhamdulillah, percubaan suka-suka memperkenalkan sushi buah akhirnya mendapat sambutan, malah ia di luar jangkaan saya.
“Mujur ada isteri dan ibu mertua yang sudi membantu. Kalau tak, ‘patah kaki’ saya nak siapkan semua tempahan," katanya.
Perniagaan yang dibuat secara sambilan itu turut mendapat sokongan padu daripada isterinya, Farah Norliyana Azhar, 23, serta ibu mertua, Norhanizan Sabtu, 48, dan mereka inilah tulang belakang buat Khairun untuk meneruskan perniagaan.
Menurutnya, sekiranya ada tempahan yang memerlukan penghantaran ke rumah, dia akan menghantarnya tanpa sebarang caj tambahan di sekitar Seremban, Senawang, Sendayan dan Rasah.
No comments:
Post a Comment