PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berhasrat  memanjangkan isu penolakan tajaan bernilai RM30 juta dari  D’Herbs, namun sekiranya syarikat terbabit berterusan  mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej persatuan dan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, KFA tidak  teragak agak mengambil tindakan lanjut.
Timbalan Presidennya, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah dalam suatu kenyataan berkata, ketegasan ini dibuat susulan kenyataan media pengasas  D’Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, semalam.
"KFA ingin tegaskan  penolakan tawaran tajaan tersebut adalah sesuatu amalan kebiasaan dalam sesuatu rundingan," katanya.
Menurutnya, KFA  kesal dengan kenyataan tidak tepat pihak D’Herbs dalam menangani isu tajaan ini.
Semalam dalam satu sidang media, Pengasas D'Herbs Holding, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menafikan dakwaan yang mengatakan beliau ingin memiliki tanah di negeri Kedah sebagai syarat untuk menaja pasukan bola sepak negeri tersebut.
Menurutnya, melalui perbincangan sebelum ini, pembangunan tanah tersebut dipersetujui dibuat melalui proses usahasama dengan anak syarikat negeri Kedah iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
"Tanah berkenaan merupakan tapak projek terbengkai sebelum ini dan hasil perbincangan telah bersetuju agar tanah berkenaan dibangunkan secara kerjasama dengan PKNK.
"Tiada istilah saya mahukan tanah itu secara percuma, dan apa yang saya nak hanyalah untuk pelaburan. Kalau betul saya nak tanah, dengan RM30 juta saya boleh dapat tanah di Selangor," katanya dalam sidang media di Wisma D'Herbs Kota Damansara.