Tuesday 10 May 2016

‘Ramai ingat saya lelaki Cina’



‘Ramai ingat saya lelaki Cina’
Ahmad Redzuan bersama keluarga iaitu anak perempuannya, Kersha, 3, anak lelakinya, Darwisy, 6, serta isterinya, Ayu, 31.
KUALA TERENGGANU -  Mempunyai rupa paras Cina dan memiliki kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin dengan baik menjadi antara salah satu sebab anak Melayu kelahiran Kuala Terengganu ini mendapat gelaran panggilan sebagai Yap.
Ahmad Redzuan Abdul Aziz, 30, yang berasal dari Kampung Chabang Tiga di sini, berkata, sejak kecil memang ramai yang menyangka dia seorang anak Cina kerana rupa parasnya yang mirip seperti masyarakat Tionghua.
"Dalam keluarga saya, memang saya antara yang mempunyai mirip seperti Cina. Walaupun begitu, ada juga adik-beradik lain yang mempunyai rupa paras orang Cina kerana keturunan saya memang ada darah campuran Cina sebelah emak dan ayah.
"Mungkin disebabkan berketurunan darah campuran Cina, menyebabkan adik-beradik kami ada rupa iras orang Cina dan ramai yang menyangka kami anak Cina," kata anak kesembilan dari 10 adik-beradik ini.
Bercerita lanjut mengenai rupa parasnya iras anak Cina, Ahmad Redzuan berkata, dia dan adik-beradiknya yang lain 75 peratus mempunyai darah campuran Cina kerana ibunya, Zawiyah Embong, 68, adalah anak kepada pasangan Cina.
"Emak saya sebenarnya anak Cina dan diambil oleh keluarga Melayu sebagai anak angkat. Ketika itu, emak saya masih bayi lagi. Sebab itulah rupa saya memang seperti anak Cina lagipun keluarga sebelah bapa, Abdul Aziz Abu Bakar, 78, memang berasal dari keturunan Cina juga.
"Disebabkan sejak bayi lagi tinggal dengan keluarga angkat Melayu, emak saya tidak pandai berbahasa Cina kerana telah biasa dengan bahasa Melayu. Orang lain juga tak menganggap emak saya Cina kerana dia bertudung dan cakap loghat Terengganu.
"Lebih menguatkan lagi mengapa rupa paras kami sekeluarga mirip orang Cina, datuk saya sebelah ayah, memang seorang Cina," katanya.
Ditanya mengenai gelaran nama Yap, katanya, ia diberikan seorang kawan Melayu ketika masih belajar dan nama itu kekal sehingga kini.
"Ada seorang kawan Melayu saya yang bagi gelaran Yap ketika kami masih di bangku sekolah. Katanya, sebab muka saya macam Cina dan sesuai dengan panggilan itu.
"Lucunya, nama Yap kekal sehingga hari ini dan saya lebih dikenali sebagai Yap," katanya.
Bercerita lanjut mengenai kelebihan dimilikinya itu, Ahmad Redzuan berkata, pernah juga dia menjadi tempat rujukan rakan-rakan Cina yang bertanyakan kemusykilan tentang agama Islam.
"Saya cuba dan berusaha untuk menjawab setakat yang saya tahu agar persoalan mereka terjawab. Saya bersyukur dengan kelebihan ini dapat sedikit sebanyak bantu memberi kefahaman kepada mereka walaupun tidak banyak.
"Saya rasa ia kelebihan yang perlu diguna sebaik mungkin terutama dalam hal-hal berkaitan kemusykilan dan perkara-perkara lain," katanya.
Bapa kepada sepasang cahaya mata ini berkata, dia belum lagi mengajar dua anaknya berbahasa Mandarin dan akan memberi pendedahan kepada kedua anaknya apabila mereka telah besar nanti.
Belajar di sekolah Cina
Ahmad Redzuan berkata, dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga sebelum menyambung sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin, di sini.
"Memang saya sendiri yang minta sambung sekolah menengah di SMK Chung Hwa kerana ramai rakan-rakan saya ketika di sekolah rendah ingin belajar di sekolah itu. Jadi, mungkin salah satu sebab saya mintak mak dan ayah saya hantar saya ke situ.
"Sebenarnya, ketika mula-mula masuk ke SMK Chung Hwa, saya tidak begitu fasih berbahasa Cina, kerana saya dibesarkan dalam keluarga bertutur dalam bahasa Melayu dan loghat Terengganu, sehingga saya berada di tingkatan empat, sikit demi sedikit saya mulai fasih berbahasa Mandarin," katanya.
Menurut Ahmad Redzuan, selepas tamat sekolah menengah, dia menyambung pengajian di tiga buah kolej dan terakhir di Kolej Lagenda, Mantin, Negeri Sembilan dalam jurusan Sivil Engineering.
"Kalau di sekolah menengah dulu banyak juga gelaran nama Cina yang lain diberikan kepada saya.
"Walaupun begitu, saya rasa gembira dan terhibur dengan kawan-kawan saya yang gemar memanggil saya dengan panggilan lain," katanya.
Bercerita pengalaman pandai berbahasa Mandarin, katanya, ia satu kelebihan kerana menguasai lebih dua bahasa adalah bonus buat seseorang.
"Memang bila pandai bercakap bahasa lain, ini merupakan satu keistimewaan pada seseorang. Ia juga menjadi salah satu sebab kita akan mendapat ramai kawan dalam kalangan bangsa lain kerana boleh berkomunikasi dengan baik.
“Bila boleh cakap Cina, memang kita akan dapat ramai kawan dari bangsa lain dan itu salah satu keistimewaannya.
"Ia juga menjadi kelebihan buat seseorang kerana boleh membantu atau menerangkan sesuatu kepada rakan bangsa lain sekiranya ada sesuatu yang kurang jelas," katanya.

No comments:

Post a Comment