Sunday 1 May 2016

Tablet kunyah sarang burung




Tablet kunyah sarang burung
Noor Aimi menunjukkan produk sahi yang kini berada di pasaran.
SEJAK dahulu lagi, khasiat sarang burung layang-layang atau walit didapati mempunyai nilai pemakanan tinggi, yang mana ia membantu merangsang sel dan penghasilan semula struktur sel badan serta dikatakan menjadi punca utama penghasilan kulit yang muda, lembut, licin dan halus.
Penyelidikan saintifik moden juga mendapati ia mengandungi mineral kepekatan tinggi, protein aktif serta protein gelatin, sekali gus menjadikan ia produk kesihatan semula jadi yang tulen sesuai untuk semua peringkat usia.
Menyedari khasiat itu, syarikat Bumiputera, Pastel MindCube yang beroperasi di Perak menjalankan kajian dan penyelidikan (R&D) bagi menghasilkan satu produk berasaskan sarang burung yang lain daripada yang lain di pasaran.
Pengasasnya, Noor Aimi Mohd Yusuf, 20, berkata, dia yang sememangnya merupakan penggemar sarang burung sejak kecil itu mahu memanfaatkan khasiat sarang burung kepada pengguna.
Namun, bagi bersaing di dalam pasaran tempatan, Noor Aimi berkata, dia perlu tampil dengan konsep yang berlainan dengan apa yang ada di pasaran.
"Saya memulakan R&D selama enam bulan dengan kerjasama pakar yang bertauliah bagi memastikan produk yang dihasilkannya itu kualiti, sekali gus memastikan produk yang memuaskan hati pengguna.
"Selepas melihat hasil yang menggalakkan, akhirnya produk tablet kunyahan laici dengan sarang burung dan aloe vera menerusi jenama Sahi dipasarkan sejak akhir Mac lalu," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
Sebelum jenama itu dipasarkan, Sahi telah diedarkan secara percuma kepada 20 orang bagi melihat kesannya.
Menurutnya, menerusi testimoni yang diperoleh, rata-rata memberitahu ia mampu mengatasi masalah kulit muka yang bermasalah.
Noor Aimi berkata, dia yakin bahawa Sahi merupakan satu-satunya produk sarang burung dalam bentuk tablet yang mudah diambil.

Kombinasi makanan sunnah
Noor Aimi berkata, Sahi turut mengandungi lima bahan-bahan makanan sunnah seperti buah tin, kurma, kismis, zaitun dan madu.
"Bagi memastikan khasiat yang sarang burung itu, kami letakkan sehingga 55 peratus bahan utama adalah sarang burung," katanya yang memperuntukkan sebanyak RM6,000 sebagai modal permulaan termasuk R&D produk tersebut.
Menurutnya, produk ini bukan sahaja baik untuk kulit muka, tetapi kepada dalaman wanita kerana mengandungi khasiat yang baik menerusi makanan sunnah.
Katanya, Sahi turut mampu memberikan kesan baik kepada kesuburan hormon wanita, melawaskan sistem penghadaman, keletihan, mencerahkan, menghilangkan jerawat dan mengurangkan sengungut.
Sahi mempunyai pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan dan dalam proses untuk mendapatkan sijil halal.
"Kami jangka akan dapat dalam tempoh empat bulan akan datang," katanya.

Sasar tambah ejen 
Bagi merancakkan jualan Sahi, Noor Aimi berkata, syarikatnya menyasarkan untuk menambah 30 ejen baharu menjelang akhir tahun ini.
Setakat ini, Pastel MindCube mempunyai 10 ejen berdaftar yang aktif di seluruh negara.
"Kami juga sedang dalam proses untuk membawa jenama ini kepada kedai-kedai jamu dalam tempoh terdekat.
"Buat masa ini, jualan kami hanya bergantung kepada ejen, dalam talian (online) menerusi Facebook dan Instagram serta tapak-tapak pameran," katanya.
Mengulas lanjut berhubung perancangan jangka panjang syarikat, Noor Aimi berkata, dia menjangkakan untuk menjual sehingga 100,000 botol Sahi tahun ini.
Sebelum dipasarkan, pihaknya telah membuka tempahan dan Sahi telah terjual sehingga 40 botol dalam tempoh dua minggu.
"Berdasarkan kepada sambutan itu, saya yakin untuk menambahkan jualan produk kami pada masa akan datang," katanya.
Noor Aimi juga berhasrat untuk memasuki pasaran negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menurutnya, negara-negara itu merupakan antara negara yang menggemari sarang burung. 

No comments:

Post a Comment