MESKIPUN berhijab, Ummi Nazeera percaya bakatnya dalam bidang lakonan dapat ‘diwarnakan’ lagi.
Namun, pelakon berusia 26 tahun ini mengakui ia perlu seiring dengan syariat yang ditetapkan Islam bagi menjaga batasan tertentu.
Tegasnya, apa yang penting adalah daya kreativiti dalam memastikan setiap penampilan adalah berbeza dan boleh diterima masyarakat.
“Saya percaya, bertudung bukanlah ‘pengacau’ rezeki saya dalam industri ini. Semuanya mengenai kerja keras dan ia tiada kaitan langsung mengenai bertudung.
“Tambahan pula, kini, penonton berperanan sebagai ‘majikan’ juga sudah bijak menilai dan ada kuasa,” katanya kepada Zass.
Kerana itu, teraju utama filem Penanggal ini enggan lagi dilabel stereotaip dan klise dek sering ditawar dengan watak protagonis.
“Saya faham saya harus memilih watak kerana perlu menjaga imej sebagai wanita Islam bertudung.
“Tetapi, siapa kata pelakon bertudung tidak boleh membawa watak jahat? Tidak semestinya semua yang bertudung itu baik.
“Lagipun, dengan teknologi terkini dan trik kamera, ia banyak memudahkan dalam beberapa situasi tertentu,” katanya.
Berdasarkan daripada pengalaman lalu, kata Ummi, wataknya sebagai Siti Sarah menerusi drama bersiri, Nur Kasih juga memerlukannya bertudung walaupun belum berhijrah.
“Mungkin penerbit atau pengarah masih belum mengenali dengan jelas siapa Ummi Nazeera.
“Itu yang membuatkan mereka tidak berani menawarkan watak antagonis kepada saya, apatah lagi, di media sosial, saya banyak berkongsi hal-hal keagamaan.
“Pada saya, apa yang penting ialah kekuatan skrip dan kemampuan dalam menghidupkan watak yang diberi kerana apabila bekerja, saya seorang yang profesional,” katanya.
Pada masa sama, pemilik nama sebenar Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin ini mengakui tidak kisah digandingkan dengan mana-mana pelakon walaupun pendatang baharu.
“Saya suka bekerja dengan orang baharu kerana ada kalanya ada magis yang berlaku,” katanya.
Belajar erti kehidupan
Dalam pada itu, Ummi kini kembali bergiat aktif di bidang seni selepas hampir empat tahun berehat kerana melanjutkan pelajaran di Australia.
Meninggalkan bidang glamor tatkala nama sedang meningkat naik, pelakon filem Hikayat Merong Mahawangsa ini mengakui tidak menyesal dengan keputusan yang dilakukannya itu.
“Ketika saya menyepi, saya memperoleh sesuatu yang lebih berharga sekali gus menggantikan semua populariti itu.
“Bahkan, saya juga belajar erti kehidupan selain menemui ‘jalan’ saya. Ia keputusan terbaik yang pernah saya lakukan.
“Ternyata, ALLAH SWT menggantikan apa yang saya hilang dengan sesuatu yang lebih berharga,” katanya.
Kini, pelakon drama bersiri, Alif Imani ini kembali rancak mewarnai persada seni dan baru sahaja muncul dengan filem televisyen (FTV), Angin Cinta bergandingan dengan pelakon dan pelawak, Zizan Razak menerusi Astro First Eksklusif (saluran 480).
Lari daripada kebiasaan, kali ini, Ummi membintangi sebuah karya dengan genre komedi romantik yang ringan dan santai namun masih sarat dengan pengajaran.
“Jika sebelum ini saya sering membawa watak berat tetapi menerusi naskhah ini, ia sebuah filem ringan tetapi jalan ceritanya cukup menarik.
“Alhamdulillah, Zizan banyak membantu kerana filem komedi memang kepakarannya tetapi keserasian kami membuatkan saya lebih seronok menjayakan filem ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ummi kini sedang sibuk menjalani penggambaran FTV keduanya, Bisik Pada Langit selain drama bersiri, Patahnya Sayap Sebelah.