RAWANG - Tiada sofa mahupun televisyen. Yang ada hanyalah sebuah radio lama yang menjadi penghibur hati di kala sunyi buat sepasang suami isteri yang hidup sederhana di Taman Tun Teja di sini.
Tidak dikurniakan anak, pasangan warga emas, Siti Hazirah Hamzah, 63, dan suami, Abdullah Khamis, 70, ini saling melengkapi demi meneruskan kelangsungan hidup mencari sesuap nasi.
Dahulunya, suami membawa bas mini kemudian teksi namun kini hanya duduk di rumah kerana sakit gout kronik yang dialaminya.
Sementara isteri pula mengambil upah membungkus sup bunjut dari sebuah kilang berhampiran dengan upah tiga sen setiap satu.
Siti Hazirah berkata, dia pernah berputus asa dan mahu pulang ke kampung untuk memulakan hidup baru namun niatnya itu terbantut berikutan tidak mahu menyusahkan keluarga.
“Makcik dari Johor dan pakcik pula dari Perlis. Bila suami selalu sakit dan tak boleh bekerja, makcik ajak dia balik kampung tapi pakcik tak nak sebab masih mampu bertahan.
“Alhamdulillah, rumah ni rumah sendiri walaupun kecil tapi cukuplah buat kami suami isteri meneruskan hidup,” katanya.
Menurutnya, dia mengambil upah membungkus sup bunjut sejak enam tahun lalu.
"Walaupun tak lumayan cukuplah nak menampung makan minum makcik dan pakcik.
“Setiap hari mula pukul 12 tengah hari sampai 10 malam makcik akan bungkus sup bunjut dan berhenti sekejap untuk solat dan memasak. Sehari boleh siap 400 biji.
“Kalau tiga hari dapatlah RM12 tapi dibayar setiap hujung bulan. Dalam sebulan paling banyak pernah dapat RM150,” katanya.
Sementara mendapat upah itu katanya, suaminya akan mengambil atau menghantar orang yang memerlukan pengangkutan.
“Bila pakcik dah sihat pakcik akan keluar cari duit, pernah sehari tu kami ada RM5 saja dan kami gunakan untuk beli nasi bungkus, nak beli bahan untuk masak tak cukup.
“Ada hikmah juga kami tiada anak, kalau tak, tak tahu macam mana nak besarkan mereka. Kalau betul-betul susah baru minta bantuan saudara tapi tak boleh selalu nanti orang tak suka.
“Kalau dapat zakat bagus juga boleh ringankan belanja dapur. Duit rumah dah habis bayar, bil elektrik dan air kadang-kala tak perlu bayar sebab tak banyak guna,” katanya.