RASA tercabar melihat karya orang lain di dada-dada akhbar dan majalah menyebabkan wanita ini memasang tekad untuk bergelar penulis, suatu hari nanti.
Meletakkan impian setinggi gunung, Ebriza Aminnudin akhirnya memberanikan diri mengorak langkah dengan menghantar puisi kepada gurunya ketika berusia 16 tahun.
"Puisi pertama yang saya hasilkan ialah Roda Kehidupan. Saya tidak sangka ia berjaya dimuatkan di dalam majalah Mutiara Bahasa. Siapa sangka, karya itu akhirnya menjadi titik permulaan kepada perjuangan saya di dalam bidang penulisan.
"Lebih-lebih lagi, saya mampu untuk menulis dalam pelbagai genre termasuklah penulisan novel yang kekal sehingga hari ini.
"Lagipun, penulisan adalah cinta hati saya sejak dari sekolah rendah lagi," katanya kepada Zass.
Malah, dek minat mendalam juga membuatkan anak kelahiran Pulau Pinang ini kerap kali menyertai pelbagai aktiviti penulisan demi memantapkan lagi kemahirannya.
"Program atau aktiviti seumpama itu mampu memperbaiki setiap kelemahan saya dalam berkarya.
"Selain itu, saya juga dapat menimba pelbagai ilmu pengetahuan yang ada dalam bidang penulisan.
"Secara tidak langsung, ia juga membakar semangat saya untuk terus berkarya dengan lebih gigih lagi," katanya.
Pada masa sama, anak sulung daripada tiga beradik ini, mengakui bidang penulisan meninggalkan impak yang besar kepadanya.
"Apabila sudah terjebak dalam bidang ini, saya haruslah mempunyai hati yang cekal, sabar dan tabah.
"Ini kerana, tidak semua karya saya diterima dengan baik oleh pembaca. Jadi, saya harus bersifat terbuka dalam menerima kritikan.
"Bidang ini juga mengajar saya erti tanggungjawab dalam menggalas sesuatu tugas yang diberikan," katanya.
Penulis sudah bijak
Menjadikan Allahyarham Dr Othman Puteh dan JK Rowling sebagai idola, wanita berusia 39 tahun ini ternyata mengagumi semangat kental dua penulis tersohor itu.
"Saya meminjam semangat daripada dua penulis ini untuk terus berkarya.
"Lagi pula, saya memperjuangkan genre seram fantasi dan saya tahu ada sesetengah pihak tidak menyukai genre yang saya ketengahkan," katanya.
Pun begitu, Ebriza telah menghasilkan pelbagai puisi, cerpen, rencana dan novel dalam bermacam genre sepanjang 23 tahun berkecimpung di bidang penulisan.
Bahkan, sebahagian novel tulisannya diterbitkan oleh Buku Prima iaitu Hanya Dikau (2007), Janji Seorang Puteri (2008), Jangan Kau Tangisi (2009), Vila Amira Syakira (2010), Miss Blur (2012), Kejap Ada Kejap Tak Ada (2012), Kubur Bernyawa (2014),
Sakitnya Hati Aku (2015), Antologi Permainan Maut (2015), Atuk (2015) dan Projek Seram Wad (2016).
"Sebenarnya, saya suka mencuba pelbagai genre seperti cinta, remaja, kanak-kanak, psiko thriller dan seram mengikut kemampuan saya.
"Namun, jujurnya, saya suka dengan genre seram kerana saya bebas untuk mengadun jalan ceritanya mengikut kehendak saya sendiri seterusnya berfikir di luar kotak pemikiran realiti," katanya.
Merasakan dunia penulisan kini semakin berkembang, Ebriza berharap ia terus berlangsung secara sihat dan positif.
"Persaingan yang sihat adalah sangat bagus untuk mencabar setiap penulis karya kreatif agar lebih berusaha menempatkan diri masing-masing," katanya.
Sehubungan itu, adalah menjadi harapan buat Ebriza agar bidang ini terus berkembang dari semasa ke semasa.
"Penulis sekarang ini sudah bijak dan tidak hanya mempamerkan karya kosong semata-mata.
"Jika diteliti, isi kandungan yang hendak disampaikan sarat dengan pengajaran yang boleh dikutip seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya yang kini sedang berkhidmat dalam bidang perakaunan.