SETIAP insan bergelar perempuan pasti mengimpikan mendirikan rumah tangga dan dikurniakan permata hati yang comel.
Bahkan mereka yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai cahaya mata dianggap sudah lengkap memiliki segalanya.
Apatah lagi jika fasa itu dicapai pada usia muda. Pasti ramai yang mencemburui.
Mengakui beruntung bergelar ibu beranak dua pada usia muda, bagaimanapun bagi Diana Danielle Danny Beeson ini, dia sama seperti mereka yang bergelar ibu lain, tetap mempunyai cabaran tersendiri sebagai ibu.
Lebih-lebih lagi membesarkan anak-anaknya, Muhammad Farid Kamil, 3, yang semakin aktif, manakala puterinya, Nur Aurora, berusia enam bulan.
Menurut Diana, dia kini lebih banyak menghabiskan masa bersama anak-anak kerana mereka terlibat dengan beberapa aktiviti setiap minggu seperti kelas renang, mengaji dan bola sepak.
"Tiga kali seminggu Muhammad dan Aurora akan terlibat kelas renang. Kemudian Muhammad ada kelas mengaji dan bola sepak. Aurora, saya hantar sertai gym.
"Bila anak-anak makin membesar, cabarannya sama seperti ibu lain, tertekan juga kadang-kadang. Cuma barangkali saya masih muda, jadi saya masih bertenaga  uruskan dua anak. Tapi dengan bantuan pembantu rumahlah, kalau sendiri, saya rasa tak mampu juga.
"Jadi bila ada minta tip uruskan dua cahaya mata, saya rasa macam bukan individu sesuai untuk beri tip, bukan kerana sombong.
"Tapi apa yang boleh saya katakan, pengurusan masa memainkan peranan yang sangat penting, tidak kiranya anda suri rumah atau bekerja dan dalam masa yang sama mempunyai anak dan belajar separuh masa, pengurusan masa amat penting," katanya kepada Zass ketika ditemui pada pembukaan salun Amyssrite Hairdressing di Ampang.
Tambahnya, dia juga sudah mula memperkenalkan Muhammad dengan dunia pekerjaan dan melibatkan anaknya itu dalam Che Mad Raya 2016.
"Walaupun Muhammad aktif, tapi dia sangat mendengar kata. Jadi untuk permulaan saya libatkan dia dengan Che Mad Raya 2016, iaitu kurta kanak-kanak.
"Bila dia terlibat dengan penggambaran dia tahu, 'oh penat ya ibu kerja'. Jadi selepas itu dia tak merungut kalau saya perlu kerja," jelasnya.
Bagaimanapun ujarnya, walaupun kebanyakan masa dihabiskan bersama anak, namun dia tetap mencuri masa berlakon.
"Memang jadual saya agak padat dengan anak. Tapi saya tetap curi masa untuk berlakon dan saya sudah mula kembali aktif.
"Lagipun bila dari kecil sudah terlibat dalam industri, rasa gian untuk kembali bekerja memang tinggi.
"Tapi kerana Aurora masih menyusu badan, jadi saya banyak terima tawaran berlakon telefilem kerana biasanya ia tidak mengambil masa yang lama.
"Bahkan kalau perlu keluar dari Kuala Lumpur pun saya tak kisah kerana saya boleh bawa bersama, asalkan ada hotel yang selesa dan jadual lakonan yang tidak terlalu padat.
"Cuma kalau melibatkan drama bersiri atau filem, saya rasa saya hanya bersedia untuk menerima selepas Aurora berusia sembilan bulan," ujarnya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Kalau Jodoh Tak Ke Mana.
Telefilem arahan Raja Ahmad Alauddin itu menggandingkan Diana bersama Qi Razali dan akan dipertandingkan sempena Anugerah Tribute P Ramlee tidak lama lagi.
Buat kerja Amal
Sementara itu, berkongsi aktivitinya sepanjang Ramadan ini, isteri kepada Farid Kamil ini berkata, selain penggambaran, dia bersama ibunya dalam proses membantu sebuah rumah tahfiz di Sungai Buloh.
Katanya, rumah tahfiz itu mempunyai 100 penghuni, namun tidak mempunyai kawasan yang luas untuk membuat aktiviti lain.
"Kalau kita tengok kerusi dan meja di situ, memang kesian. Apatah lagi mereka ada hampir 100 orang dan kawasan sangat terhad.
"Jadi kami ada merancang untuk pergi melawat dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya melalui laman Instagram," jelasnya.
Selain itu tambah Diana, kafe miliknya, Born & Bread turut mengadakan promosi istimewa sempena Ramadan ini.