ALOR PONGSU - Siapa sangka, hari persaraan seorang pengetua diraikan menerusi acara ‘persandingan’ kali kedua bersama isteri tercinta dalam satu majlis persaraan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pongsu, semalam.
Lebih manis, ‘persandingan’ kali kedua pengetua sekolah itu, Yusoff Hamid, 60, bersama isteri, Noraziah Jaafar turut diraikan dengan satu upacara perarakan menaiki kereta sambil diiringi Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kerian, Abdul Wahid Ramli dan rakan-rakan pengetua dari seluruh daerah Kerian.
Penolong Kanan Pentadbiran SMK Alor Pongsu, Khairul Azmi Ibrahim berkata, idea persandingan istimewa Yusoff bersama isteri di atas pelamin khas disediakan di dewan sekolah merupakan cetusan idea guru-guru sekolah berkenaan.
Menurutnya, majlis khas ini dirancang pihaknya bagi memberi penghormatan istimewa kepada Yusoff yang berkhidmat sebagai pengetua SMK Alor Pongsu sejak dua tahun setengah lalu.
“Bagi kami, persaraan beliau menyebabkan sekolah ini kehilangan satu permata berharga, lebih-lebih lagi sikap beliau yang amat disenangi semua pihak daripada kakitangan sekolah kepada pelajar-pelajar.
“Beliau juga dikenali sebagai seorang yang amat komited dan sentiasa memberi sokongan dalam setiap agenda pendidikan direncanakan guru-guru.
“Kami mendoakan kesihatan beliau sentiasa baik dan dapat meneruskan kehidupan selepas bersara dengan penuh kebahagiaan,” katanya kepada media di sini semalam.
Sementara itu, Yusoff ketika ditemui tidak menyangka diraikan dalam suasana cukup meriah sekali gus akan menjadi kenangan terindah dalam hidupnya.
Menurutnya, sepanjang 35 tahun perkhidmatan dalam bidang pendidikan, pengalaman dilantik sebagai pengetua SMK Alor Pongsu merupakan antara pengalaman bekerja paling manis dan menyeronokkan dalam hidupnya.
“Saya tak sangka, rakan-rakan pengetua, pihak PPD Kerian, guru-guru dan murid-murid bersungguh-sungguh mengadakan majlis cukup istimewa ini pada hari terakhir selepas berkhidmat sebagai guru selama 35 tahun.
“Saya berharap warga sekolah ini dapat meneruskan kecemerlangan dicapai dalam aspek kurikulum dan ko-kurikulum sejak dua tahun setengah lalu,” katanya.
Bapa kepada sembilan cahaya mata ini berkata, dia amat bersyukur dapat mencurahkan bakti mendidik anak bangsa yang juga cita-citanya sejak kecil lagi.
Katanya, kejayaan melihat bekas anak-anak muridnya kini berjaya dalam pelbagai bidang diceburi merupakan satu kepuasan dalam hidupnya.