CHUKAI – Orang ramai pasti terpegun apabila melihat suasana sebuah rumah di Kampung Paya Berenjut, di sini, yang dikelilingi kesuburan ratusan pokok cili berbuah lebat.
Malah suasana kehijauan di sekeliling rumah Ketua Projek Tanaman Bandar, Muhammad Sabri Zulman, 27, itu turut menjadikan kediamannya sebagai model untuk dicontohi peserta lain.
Muhammad Sabri memulakan projek tanaman itu sejak Mac lalu dan sungguhpun terpaksa berpanas saban hari, terutama sejak Ramadan minggu lalu, ia langsung tidak mematahkan semangat anak muda ini untuk meneruskan usaha tani tersebut.
Menurutnya, fenomena El Nino yang melanda negara memberikan cabaran besar untuknya ketika memulakan usaha tersebut kerana terpaksa menyiram tanamannya sehingga enam atau tujuh kali sehari.
"Ketika itu, bermula jam 6 pagi, saya siram tanaman selang empat jam sekali sehinggalah ke jam 12 tengah malam, bagi mengelakkan pokok layu dan memastikan kesegarannya pada tahap terbaik.
"Untuk mudahkan proses penyiraman, saya guna paip yang disalurkan ke setiap polibeg pokok cili dan tetapkan masa penyiraman. Selain itu, saya pastikan tanaman diracun tiga hari sekali," katanya.
Muhammad Sabri memberitahu, pada musim panas, tanaman mudah dijangkiti parasit yang boleh menjejaskan jumlah tuaian hasil.
Kerja keras berbaloi
Muhammad Sabri memaklumkan, di bawah Projek Tanaman Bandar, sebanyak 150 rumah di kampung berkenaan diberikan modal dalam bentuk biji benih, tanah dalam polibeg dan kelengkapan penanaman untuk melaksanakan projek itu seterusnya menjana pendapatan.
Katanya, peruntukan RM15,000 disalurkan secara berperingkat di bawah projek seliaan Pejabat Pertanian Kemaman itu yang mana setiap peserta menerima modal RM100.
"Jerih perih saya selama empat bulan berbaloi apabila sekeliling halaman rumah saya kini menjadi contoh dan dapat kongsi rahsia kejayaan dengan peserta lain.
"Sekarang saya sudah dua kali tuai cili dan dijual dengan harga antara RM12 hingga RM13 sekilogram. Ketika menjual hasil tuaian, saya tak menang tangan kerana turut dapat tempahan daripada penduduk kampung selain pemborong," katanya.
Cipta baja sendiri
Bagi memastikan projek diusahakannya mengeluarkan hasil yang banyak, Muhammad Sabri menggunakan kreativitinya untuk mencipta baja sendiri dalam bentuk cecair selepas mengikuti kursus dengan dibantu pegawai pertanian.
"Untuk hasilkan baja itu saya beli tong untuk isi air dengan harga RM60 seunit. Baja dalam bentuk cecair lebih cepat berkesan kerana ia senang diserap oleh akar pokok dan kerana itu pokok cili yang saya tanam berbuah lebat.
"Setakat ini saya tanam kira-kira 300 polibeg pokok cili Kulai dan sedikit terung. Saya merancang untuk tambah lagi tanaman menggunakan wang hasil jualan cili. Untuk jangka masa panjang, saya rancang buat produk hiliran seperti sos cili dan cili jeruk," katanya.
Bunga Kubis Goreng Berempah
Sementara itu, seorang lagi peserta projek berkenaan, Mohd Firdaus Rulan, 26, merancang untuk menanam bunga kubis dengan bantuan ibu serta bapanya dan mengakui semangat bertani kini berkobar-kobar dalam dirinya selepas melihat kejayaan Muhammad Sabri.
"Dulu saya tak berapa minat bercucuk tanam tapi kini semangat saya berkobar-kobar. Saya bukan saja mahu bertani tapi mahu jual semua hasil tani dalam bentuk produk sendiri.
"Saya suka memasak dan merancang jual bunga kubis ditanam dalam bentuk snek yang boleh dinikmati pada bila-bila masa. Saya mahu hasilkan bunga kubis goreng berempah. Sebelum ini saya pernah buat dan hantar ke kedai-kedai untuk jualan," katanya.
Menurutnya, bunga kubis goreng berempah dihasilkannya itu mendapat maklum balas sangat baik dan ramai mengakui kesedapannya, malah kelazatannya turut mendapat pujian daripada abangnya yang tinggal di Dungun dan Kuala Lumpur.
Mohd Firdaus yang juga sukarelawan tetap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kemaman dan usahawan keropok yakin projek pertaniannya itu mampu memberi pendapatan tambahan yang lumayan kerana baginya, berbudi kepada tanah sememangnya perniagaan menguntungkan.