PASTI ramai bersetuju keberkesanan watak Saidatul ataupun Atul menerusi telefilem Spain Uoolls, beralih pula kepada Ajaibnya Cinta dan kemudian diikuti dengan Mak Cun, sehinggalah ke pentas teater Mak Cun digalas dengan baik pelakon berbakat besar, Balkisyh Semundur Khan.
Biarlah watak komedi itu kelihatan ‘gila-gila’ dan sedikit keterlaluan, namun keupayaan pelakon berusia 30 tahun ini sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi.
“Watak Atul adalah sebuah karakter anak dara tua yang duduk di kampung dan terpaksa menjaga ibunya. Tidak dinafikan, masyarakat kadang-kadang meletakkan watak itu sebagai satu karakter yang keterlaluan, tetapi sebenarnya tidak.
“Watak itu wujud dalam kalangan masyarakat yang mana ia kelihatan seperti individu normal tetapi sebaliknya pernah menghidapi demam panas ataupun mempunyai gangguan autisme.
“Itulah sebenarnya ciri-ciri dalam diri Atul,” katanya kepada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.
Biarpun dianggap sebagai keterlaluan, pelakon filem Diva ini sangat bertuah kerana usahanya ‘menghidupkan’ watak  tersebut dihargai oleh pengarah drama berkenaan, Erma Fatima.
“Saya hanya diberi skrip, saya yang bertanggungjawab untuk mengolah watak tersebut. Erma sangat memberi kelonggaran dan terpulang kepada saya untuk memainkannya. Itulah kelebihannya. Bahkan, dia tidak pernah mengatakan untuk ‘mengurangkan’ sebaliknya meminta saya untuk melebih-lebihkannya.
“Saya cuba untuk mencipta karakter tersebut supaya menjadi lebih besar,”  katanya.
Jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab seorang pelakon untuk ‘mencantikkan’ sesuatu watak, sama cantik dengan karakter diri sendiri.
“Malah, kita juga perlu ada karisma yang tidak nampak dibuat-buat supaya hasil kerja lebih semula jadi,” katanya.
Tambah membanggakan, kerana watak Atul, nama Balkisyh semakin dikenali dalam industri walaupun sudah lebih sedekad menceburkan diri dalam bidang seni.
“Jujurnya, saya tidak pernah berkecil hati apabila ada yang tidak mengenali saya. Popular atau sebaliknya, itu lumrah jadi anak seni. Ini salah satu roda hidup yang perlu diterima
“Alhamdulillah, kehadiran saya semakin diterima ramai. Jujurnya, saya tidak sangka pula drama ini membantu menaikkan kembali nama saya.
“Saya sedar nama saya sukar memenangi hati peminat sebelum ini. Malah, ramai yang kurang menyedari kehadiran saya meskipun sudah lama berkecimpung dalam industri seni tanah air,” katanya.
Strategi tersendiri
Selepas kejayaan watak tersebut, Balkisyh mengakui tawaran lakonan yang diterimanya semakin mencurah-curah.
Pun begitu, pelakon drama bersiri Rindu Awak 200% ini mengakui punya strategi tersendiri dalam melaksanakan kembara seninya.
“Alhamdulillah, tawaran yang diterima semakin lancar. Ia merupakan rezeki masing-masing. Jujurnya, kalau diberi peluang untuk pergi lebih jauh, saya berusaha untuk memberi komitmen pada semua.
“Apa yang pasti, memberikan yang terbaik dalam segala hal menjadi pegangan teguh saya,” katanya.
Meskipun dilihat semakin selesa dengan watak komedi, pelakon drama Besan Tiga Segi ini mengakui mahu ‘kembali’ semula membawakan watak-watak antagonis dan air mata.
Pada masa sama, Balkisyh turut meletakkan keinginan untuk bekerjasama dengan pelakon senior, Harun Hashim suatu hari nanti.
Bahkan, bintang drama Waris Kasih ini mengakui selesa bergandingan dengan barisan pelakon lama seperti Datuk Rahim Razali dan Eman Manan.
“Orang-orang lama ini boleh memberikan kita satu anugerah menerusi lakonannya. Bahkan, ada benda yang boleh ‘diserap’ daripada mereka,” kata anak kelahiran Lahad Datu, Sabah ini.