SEJAK mendirikan rumah tangga pada 2012, ramai yang ternanti-nantikan gandingan pelakon Farid Kamil bersama isterinya, Diana Danielle.
Bagaimanapun, pasangan itu dilihat selesa bekerja berasingan sehinggalah mereka disatukan oleh Astro menerusi telefilem Sedikit Waktu.
Telefilem arahan Khabir Bhatia itu akan disiarkan hari ini, jam  9.30 malam, menerusi saluran Astro Ria, Ria HD dan Astro Gempak.
Namun di sebalik gandingan pertama mereka itu, ada cerita menarik yang dikongsikan Diana dan mengakui dia sangat canggung bekerjasama dengan suaminya sendiri.
Cerita aktres berusia 25 tahun ini, dia seperti tidak boleh berlakon dan kekok ketika awal penggambaran bersama Farid.
Bukan itu sahaja, dia sukar membezakan antara hal peribadi dan kerja, sehingga adakalanya terasa dengan teguran Farid.
“Ketika ditawarkan berlakon telefilem ini, saya difahamkan akan bekerjasama dengan Remy Ishak, jadi bila saya beritahu Farid, dia beritahu akan menjalani penggambaran pada tarikh sama.
“Namun kami tidak sangka akan bekerja bersama, sehingga tiba sesi pembacaan skrip, barulah saya tahu akan digandingkan bersama suami sendiri,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Diana berkata, secara peribadi, Farid antara aktor yang amat dia kagumi selain Bront Palarae dan Maya Karin.
“Saya rasa sangat kekok dan seolah-olah tidak pandai berlakon sehinggakan saya bertanya kepada Khabir, mengapa kami yang dipilih untuk digandingkan bersama.
“Walaupun apa yang Farid tegur adalah kerana kerja, tapi saya rasa agak susah untuk tidak terasa dengan tegurannya,” katanya.
Namun berlainan dengan Farid, aktor berusia 35 tahun ini mengutamakan profesional dalam bekerja dan apa sahaja teguran yang dibuat kepada Diana adalah untuk memastikan kesempurnaan dalam lakonan mereka.
“Saya rasa bukan dengan dia sahaja, tetapi dengan mana-mana pelakon wanita lain pun, kalau rasa perlu ditegur, saya akan tegur.
“Saya tak suka main-main ketika bekerja dan saya akan lakukan sesi latihan berkali-kali, tetapi bila penggambaran sebenar, ia sempurna,” katanya.
Justeru kata Farid, andai mereka kembali ditakdirkan bersama, dia berharap gandingan itu adalah untuk tayangan layar perak.
“Saya bukanlah mahu memilih, tapi kalau diberi peluang, saya mahukan skala besar dan bekerja dengan pengarah yang berkaliber seperti Osman Ali.
“Lagipun kami sudah melalui gandingan di kaca TV, jadi biarlah selepas ini ia berbeza,” katanya.
Bagaimanapun, berbeza dengan Diana, dia seboleh-bolehnya mahu mengelak untuk bergandingan bersama, namun menyerahkan segalanya kepada takdir.
Aurora melengkapi
Dalam pada itu, ditanya mengenai persiapan Aidilfitri, Diana berkata, dia membuat persiapan secara sederhana.
Bagaimanapun, sambutan Aidilfitri tahun ini dirasakan lebih sempurna dengan kehadiran Nur Aurora, 7 bulan, yang melengkapi keluarga kecil mereka.
“Selepas dua tahun beraya bertiga bersama Muhammad, 3, tahun ini kami akan beraya berempat pula dan kehadiran Aurora melengkapi kami semua.
“Walupun keluarga bertambah besar, saya tidak buat persiapan secara berlebihan.
“Insya-ALLAH kami akan pulang ke Kedah terlebih dahulu dan kemudian pulang ke kampung saya di Perak,” katanya.
Tambah Farid pula, dia dan Diana tidak akan bercuti panjang memandangkan mereka sudah mempunyai komitmen kerja seminggu selepas raya nanti.