GANDINGAN pelakon utama Ungku Ismail dan Siti Elizad membintangi drama sememangnya meninggalkan kesan di hati penonton.
Mereka tampak serasi beraksi di layar pentas lakonan dan watak masing-masing tampak ‘hidup’.
Terbaru pasangan pelakon berbakat ini kembali disatukan dalam sebuah telefilem bertajuk Jubah Untuk Airin mengisi slot drama Panggung Seri pada 16 Julai, jam 9.30 malam di TV1.
Telefilem arahan Mohd Al-Bakari Harith terbitan Ardwerk Production Sdn Bhd ini memaparkan konflik dan kekeliruan yang melanda seorang wanita dalam mengharungi kehidupan yang turut mengundang pelakon Uqasha Senrose, Ammar Titan dan Mubarak Majid.
Secara ringkasnya ia mengisahkan mengenai seorang model wanita bernama Airin yang yang memiliki Agensi Lavendar Beauty bersama Melisa yang juga pengurusnya. Dia yang berada di puncak kegemilangan mula mencari diri sendiri selepas insiden kematian Ucu Cah.
Ianya tidak mudah seperti yang disangka kerana beliau perlu menempuh banyak cabaran dan rintangan. Dugaan yang paling hebat apabila dia perlu berdepan dengan dirinya sendiri untuk berubah demi mencapai impiannya.