JIKA dahulu, kardigan sering dijadikan sebagai baju sejuk untuk menghangatkan tubuh dari kedinginan.
Bermula dengan kardigan kosong, kemudian menggunakan warna-warna ceria dan bercorak, fungsinya sebagai baju sejuk telah dipelbagaikan, selaras peredaran zaman.
Kini, kardigan bukan hanya boleh digayakan dengan blaus, gaun, kemeja, baju kurung mahupun skirt labuh, malah juga boleh menjadi tudung.
Dengan gaya hidup masyarakat pada hari ini yang sibuk dan gemarkan sesuatu yang memudahkan mereka, maka terciptalah kardigan yang boleh menjadi pakaian untuk menunaikan solat, dikenali dengan jenama Lea Thurayya.
Ia hasil inovasi yang dilakukan Pengurus Nur’s Collection, Suhaini Mohd Yusof pada 2014 bersama ibu mertuanya, Norsiha Abd Rahman.
Suhaini berkata, idea itu tercetus apabila melihat ada orang menunaikan solat dengan menggunakan kardigan ketika dia berkunjung ke luar negara sebelum ini.
“Kami dapat ilham ketika pergi melancong ke Guangzhou, China dengan emak saya. Di sana, memang ada banyak masjid, tetapi tiada telekung, tidak seperti masjid di negara kita yang menyediakan banyak telekung. Pada masa itu, kami pula tertinggal telekung di hotel dan tidak membawa stoking.
“Ketika itu, kami mengikuti pelancongan secara berkumpulan dan kami bernasib baik kerana kebetulan, ada seorang rakan yang membawa telekung dan kami bergilir-gilir menggunakannya,” katanya.
Sekembalinya ke tanah air, Suhaini dan Norsiha melakar kardigan yang lengkap menutup aurat dan labuh, yang boleh dijadikan telekung ketika mengembara, bagi memudahkan mereka untuk menunaikan solat.
Mereka kemudian mencari tukang jahit yang boleh menghasilkan telekung kardigan seperti yang diimpikan.
“Untuk pengembaraan seterusnya, kami memakai kardigan itu. Apabila tiba waktu solat, kami membetulkan kedudukan kardigan itu bagi menutup kepala, leher dan dagu secara sempurna dengan mengikatnya ataupun menggunakan pin. Kemudian, kami pakai stoking tebal dan mula bersolat.
“Kumpulan ‘travel’ kami ternampak dan menyatakan rasa minat untuk memiliki kardigan seperti yang kami pakai,” katanya.
Tidak perlu sebarang pin
Menariknya, ciri-ciri Lea Thurayya kelihatan elegan dengan ‘hoody’ dan bahagian depan yang diperincikan bagi membolehkan si pemakai menutup bahagian dada dan dagu.
Suhaini berkata, kardigan itu tidak memerlukan sebarang pin untuk menjadikannya ia sebagai pakaian yang boleh dibawa solat, seiring dengan zaman serba pantas dan moden.
“Lea Thurayya mudah dibawa ke mana sahaja dan sesuai dijadikan telekung mengembara. Pemakai kemudian hanya perlu memakai stoking untuk solat. Jika Lea Thurayya tidak dipakai, ia masih boleh disimpan di dalam beg,” katanya.
Menurutnya, Lea Thurayya menggunakan material kain lycra yang tidak panas dan berat, membuatkan pengguna selesa sepanjang memakainya.
“Ia terdapat dalam pelbagai saiz iaitu bermula dengan ‘free size’ sehingga 3XL,” katanya.
Sejak mula memasuki pasaran pada 2014, Suhaini berkata, Lea Thurayya sudah terjual lebih 3,500 unit di seluruh Malaysia, selain Iran, Qatar, Australia, Jordan, United Kingdom, Brunei dan Singapura.
“Pada awal kemunculan Lea Thurayya di pasaran, kami hanya menjual kardigan telekung ini dalam warna hitam, pada harga RM120 kerana kos bahan mentah yang tinggi ketika itu.
"Kini, Nur’s Collection menjual kardigan telekung ini hanya pada RM90 dengan enam pilihan warna. Kami juga sedia menerima tempahan mengikut kehendak pelanggan, iaitu dari segi ukuran badan kerana ada setengah pelanggan, mereka suka kardigan telekung yang labuh dan ada pula yang hendak panjang," katanya.
Suhaini berkata, Nur's Collection menggunakan platform secara atas talian untuk memasarkan produknya dan ia turut dijual di rumahnya di Klang, Selangor, bagi memudahkan orang ramai membelinya.
"Selain itu, Lea Thurayya juga boleh didapati menerusi 200 ejen dan dropship di seluruh negara.
"Sebelum ini, saya juga pernah jual di bazar setiap minggu untuk memperkenalkan telekung kardigan kepada orang ramai. Ini kerana pada masa itu, produk ini masih baharu di pasaran dan orang berasa pelik untuk membelinya,” katanya.