PONTIAN - Terletak hampir dua kilometer dari Pekan Nanas, siapa sangka terdapat sebuah ladang kurma seluas 1.64 hektar di Kampung Maju Jaya.
Pokok kurma yang sinonim dengan negara Arab dan kawasan berpasir ditanam di kawasan lembah atas tanah itu kelihatan persis pokok kelapa sawit yang merupakan komoditi negara ini.
Ladang kurma pertama di negeri ini yang mengetengahkan variasi kurma safawi Madinah itu berpotensi besar menarik kunjungan pelancong asing dan tempatan.
Lebih menarik, tanaman kurma itu sudah berbuah dan boleh dinikmati hasilnya.
Menceritakan lebih lanjut, Pengasas Syarikat Kurma Empire Agro Farm, Mohd Rozaman Yahya berkata, kurma yang ditanam secara komersial di kawasan tersebut adalah jenis klon iaitu kacukan dengan benih kurma Malaysia.
Menurutnya, benih kurma itu telah disemai terlebih dahulu di Tanah Merah, Kelantan sebelum dibawa ke Pekan Nanas, di sini.
“Kurma klon dikenali kurma madu atau safawi Madinah ini mampu menjana hasil lebih cepat dan baik bergantung kepada sistem pembajaan serta jenis tanah,” katanya.
Kajian lihat kesesuaian tanah
Memilih lokasi di Pekan Nanas kerana kesesuaian tanah gambut yang serasi dengan tanaman kurma, pelbagai kajian terlebih dahulu dilakukan sebelum ladang berkenaan dibuka.
Jelas Mohd Rozaman, selepas beberapa tahun kajian kesesuaian tanah dan cuaca dilakukan, daerah ini yang mempunyai banyak kawasan tanah gambut didapati amat sesuai dengan tanaman kurma.
“Kawasan tanah gambut di Pontian menjadi pilihan bagi pekebun nanas. Bagaimanapun, ia kini bakal berubah apabila projek perintis kurma yang pertama di negeri ini berjaya di Pontian,” katanya.
Tanaman berkelompok buka peluang jadi usahawan
Konsep ladang berkelompok yang dibangunkan memberi peluang kepada orang ramai yang berminat dengan tanaman kurma menjadi usahawan.
Menurut Mohd Rozaman, dengan modal bermula dari RM850 bergantung kepada saiz pokok, mereka yang berminat tidak perlu risau kerana pokok yang ditanam akan diselia sebaiknya.
“Memandangkan kos untuk menanam kurma secara bersendirian agak tinggi, kita buka peluang kepada yang berminat untuk sama-sama turut serta menjadi usahawan menerusi program Usahawan Kurma Johor,” katanya.
Tambahnya, selepas tempoh lima tahun pokok kurma akan mengeluarkan hasil, namun ia bergantung kepada baja yang digunakan dan kesesuaian tanah.
Mengusahakan tanaman kurma turut mempunyai cabarannya. Selain pemilihan tanah yang sesuai, kaedah penanamannya juga perlu betul bagi memastikan buah dapat dihasilkan.
Jelas Mohd Rozaman, pokok kurma yang ditanam sering 'diperdengarkan' dengan bacaan ayat al-Quran.
Penggunaan 'spotlight' turut digunakan sekiranya hujan dalam tempoh melebihi lima hari.
Wujud ladang agrotourism
Ketika ditanya mengenai perancangan membangunkan ladang kurma tersebut, Mohd Rozaman memberitahu mahu mewujudkan sebuah ladang agrotourism.
“Saya yakin ramai yang masih tidak mengetahui kewujudan ladang kurma di sini.
“Malah, ramai yang terkejut melihat kurma di sini hidup subur dan mereka boleh memetik sendiri buah kurma segar dari pokok,” katanya.
Justeru, ladang berkenaan amat sesuai dibangunkan sebagai sebuah pusat pelancongan, sekali gus menambahkan lagi tarikan Pontian yang begitu popular dengan Tanjung Piai dan Pulau Kukup.
“Kita merancang untuk menambah kira-kira 700 pokok kurma pada masa hadapan. Ladang kurma di sini akan menjadi Lembah Kurma Pontian,” katanya
.