SETIAP kali tibanya Syawal, pasti pelbagai momen indah terbayang di mata. Paling bermakna apabila dapat meraikannya bersama keluarga tercinta.
Bagi pelakon dan pengarah Raja Azrey, setiap tahun mempunyai memori tersendiri, begitu juga tahun ini.
Menurutnya, tiada apa yang lebih menggembirakan apabila isterinya, Rozita Abd Rahim, kini sedang berbadan dua dan bakal melahirkan cahaya mata pertama mereka pada Oktober depan.
“Sebelum ini kami berhari raya seperti orang bujang. Dua tahun berkahwin tanpa cahaya mata membuatkan kami selesa meraikannya lebih ringkas dan sederhana.
“Tetapi tahun ini berbeza, kerana saya perlu memberikan lebih perhatian kepada isteri.
“Malah, keseronokan dirasai berganda kerana tidak sabar menantikan kehadiran orang baharu dalam keluarga kami,” katanya pada sesi fotografi hari raya bersama Zass.
Katanya yang mesra disapa Raja, jika tahun-tahun terdahulu isterinya itu menjalankan bisnes kuih raya secara sendirian, tetapi tahun ini dia perlu lebih berusaha untuk membantu.
“Kandungannya semakin membesar dan kemampuannya juga agak terbatas, jadi saya harus memberikan bantuan sebanyak mungkin.
“Bagi saya, detik-detik inilah yang membuatkan hubungan kami lebih rapat. Pada masa sama ia menjadi memori yang tidak dapat dilupakan saya dan isteri,” katanya.
Berkongsi kisah rayanya, kata Raja, sepanjang tiga tahun usia perkahwinan mereka, sambutan lebaran disambut secara sederhana sahaja.
“Saya tidak menyediakan bajet yang banyak, sebaliknya, lebih selesa membeli keperluan mengikut kepentingan sahaja.
“Biasanya, hanya akan ada sepasang baju untuk anak-anak bersama bekas isteri dan dua pasang untuk saya dan isteri.
“Tahun lalu, kami ke Bandung mencari kain yang sesuai, tahun ini juga sama, semuanya ditempah dua minggu sebelum Ramadan.
“Cukuplah meraikan Syawal bersama keluarga tercinta. Bagaimanapun, bajet untuk keluarga tetap ada, lebih-lebih lagi ketika beraya di kampung,” katanya.
Tahun ini seperti tahun sebelumnya, Raja akan pulang ke Ijok terlebih dahulu.
“Selepas ke Ijok barulah saya dan isteri pulang ke Kedah. Seronoknya, suasana di Kedah sangat menarik. Sebab perasaan beraya di kampung itu benar-benar wujud.
“Manakala di sebelah saya pula, meriahnya memang lain macam kerana keluarga saya sangat besar. Anak buah sahaja hampir 60 orang. Bayangkan apabila kami berkumpul,” katanya.
Terkenangkan ibu
Di sebalik keseronokan meraikan Syawal bersama keluarga dan bakal menyambut orang baharu, Raja memberitahu, tahun ini juga agak berbeza kerana ibunya kembali ke Rahmatullah pada Oktober tahun lalu.
“Memang terasa sebab ini tahun pertama kami berhari raya tanpa ibu.
“Biasanya kalau balik kampung, memang ibu yang akan sediakan semuanya, tetapi tahun ini tiada lagi.
“Paling terasa apabila tiba waktu makan, tahun ini kami tidak dapat lagi merasai air tangan ibu khususnya bagi menu kuah kacang dan nasi himpitnya yang istimewa itu,” katanya.
Disebabkan itu, Raja berharap isteri dan kakaknya akan menyediakan juadah tersebut tahun ini.
“Walaupun tidak sama dengan masakan ibu, sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan saya dan adik-beradik lain,” katanya.
Tambahnya, kerana itu, dia pulang dua hari sebelum hari raya semata-mata untuk menemani ayahnya.
“Jika kami terasa, pastinya ayah akan lebih merasai kehilangan ibu. Jadi kami anak-anak tidak mahu dia berasa sedih dan kehadiran kami di sisinya sedikit sebanyak akan mengubat kerinduan tersebut.
“Lebih 40 tahun mereka bersama, saya lihat ayah sangat-sangat terganggu apabila ibu tiada. Harapan saya, kami adik-beradik dapat membuatkan dia gembira meraikan Syawal kali ini,” katanya.
Keterujaan pulang ke kampung juga sedikit hambar kerana teringatkan kenangan beraya bersama ibunya.
“Biasanya semangat nak balik sebab emak akan sambut, bukan kami lupakan ayah tetapi memang ada perbezaannya,” katanya.
Selain itu, sambutan Syawal Raja juga meriah dengan kenangan manis bersama adik-beradik yang ramai.
“Bila dah terlalu ramai, tempat tidur pun tak cukup. Masa ni, pandai-pandailah nak tidur di mana. Penuh satu rumah dengan adik-beradik serta anak buah,” katanya.
Dalam pada itu, Raja juga merancang untuk mengadakan rumah terbuka tahun ini.
“Insya-ALLAH, selepas berhari raya di kampung, saya dan isteri akan menjemput saudara-mara dan rakan-rakan di sekitar Kuala Lumpur untuk beraya di rumah kami pula,” katanya.