PROSES
 merakam suara dalam sesebuah drama atau filem tidak akan berjaya sekiranya tiada bantuan daripada penata suara (audio man).
Menjelaskan lebih lanjut, Che Atan Che Khalid memberitahu, penata suara merupakan petugas yang bertanggungjawab mengatur tahap imbangan suara daripada pelbagai sumber.
"Bahasa mudahnya, penata suara diberi tanggungjawab oleh pengarah untuk merakamkan suara pelakon ketika berada di set penggambaran.
"Penata suara juga akan ‘mencampurkan’ suara melalui proses analog dan digital,” katanya kepada Zass.
Jelasnya lagi, ketika proses merakamkan suara dijalankan, penata suara perlu memastikan tahap kualiti audio berada dalam keadaan baik.
"Setiap dialog artis akan dijaga dan di dengar dengan teliti supaya tidak berlaku masalah berdengung atau ‘buzzing’ selain gagap.
"Sekiranya berlaku seperti itu, seseorang penata suara boleh meminta untuk menghentikan babak tersebut sebelum disuruh oleh pengarah.
"Jika pengarah yang ‘menghentikannya’, maka ada kemungkinan untuk mengulang semula babak tersebut," katanya.
Tambahnya lagi, penata suara turut berperanan dalam mengoperasikan ‘mixing console’ selain mencatat hal-hal yang diperlukan ketika proses penyuntingan.
"Ketika merakamkan suara pelakon, penata suara juga bertindak untuk membaca dan mempelajari naskhah setiap karya.
"Bahkan, tugasnya juga merancang konsep penataan bunyi, suara dan muzik agar bersesuaian dengan drama yang dijayakan,” katanya.
Peralatan utama
Dalam pada itu, Che Atan memberitahu, terdapat beberapa peralatan dalam sistem bunyi diperlukan oleh seseorang penata suara.
"Peralatan itu ialah mikrofon, kesan vokal, equalizer, mixer, power amply dan speaker.
"Mikrofon adalah peralatan penting yang wajib ada dan berperanan sebagai medium penghantar suara.
"Bahkan, ada juga penata suara yang menjadi boom man," katanya.
Menceritakan pengalamannya sebagai penata suara, anak muda berusia 31 tahun ini memberitahu, pelbagai cabaran yang pernah dihadapinya.
"Cabarannya lebih kepada mahu menetapkan sesuatu sistem bunyi dalam sesebuah set penggambaran.
"Bukan itu sahaja, ia juga bergantung kepada keadaan cuaca dan persekitaran terutama yang membabitkan bunyi.
"Banyak kali terjadi apabila pelakon sedang berdialog, persekitaran dalam keadaan bising seperti lori lalu lalang. Situasi itu sekali gus mengganggu proses rakaman suara,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, sekiranya kualiti audio berada dalam keadaan tidak memuaskan, proses dubbing akan dijalankan.
"Apa-apa pun, kita akan mendengar semula daripada keputusan akhir mixer akan kualiti audionya," katanya.
Kutip pengalaman
Dalam pada itu, Che Atan mengakui, pembabitannya sebagai penata suara bermula dek minatnya yang mendalam dalam bidang itu.
"Jujurnya, saya tidak pernah belajar secara rasmi mengenai selok-belok pekerjaan ini.
"Semua yang saya lakukan ini adalah atas dasar minat semata-mata. Malah, saya tidak segan untuk bermula daripada bawah.
"Sejak itu, saya belajar daripada kawan-kawan dan berusaha mengutip pengalaman sebanyak mungkin," katanya.
Katanya, adalah menjadi harapannya untuk menjadi seorang penata suara profesional, suatu hari nanti
.