MUDAH
, senang dan murah, itulah kelebihan bebola daging perapan sos lada hitam (marinade) yang kini semakin popular di kalangan pengguna.
Mempunyai pelbagai jenis bebola daging yang telah siap diperap menjadi salah satu sebab kenapa ramai pengguna menyukai hidangan tersebut.
Jika sebelum ini, bebola daging hanya dinikmati bersama sos, kini dengan idea baharu, ia hadir bersama perapan lada hitam yang boleh terus dimakan.
Tambah istimewa apabila produk itu dihasilkan usahawan Bumiputera yang telah mendapat pensijilan halal.
Pemilik ButiKafe Warisan, Faizan Md Salam berkata, set hidangan kombo di kafenya merangkumi bebola daging memang menjadi pilihan pelanggan sejak dibuka awal Januari lalu.
“Tambahan bebola daging marinade yang diperoleh daripada seorang pembekal dengan rasanya yang sedap berbanding bebola biasa lain, menjadi 'pelaris' kedai saya.
“Rata-rata pelanggan menyukai rasa bebola daging tersebut sehingga ada pelanggan yang berulang datang ke kafe untuk merasai hidangan itu,” katanya.
Faizan berkata, sejak menemui pembekal bebola marinade, suaminya yang dahulunya kurang meminati bebola daging kerana rasanya, kini menjadi penggemar hidangan tersebut.
Sekali cuba nak lagi
Bagi seorang pelanggan, Noriszatulkomariah Mohamad Ishak, percubaan pertama menempah bebola daging marinade dengan seorang rakan 'menjebakkan' dirinya menjadi pelanggan tetap sehingga sekarang.
Pada awalnya katanya, niat hanya sekadar ingin membantu kawan sekolah menengahnya dahulu berniaga dan merasai bebola yang dijual.
“Apabila sudah sekali rasa, memang sedap serta harga berpatutan. Sejak itu, saya memilih untuk membeli bebolanya serta tidak mendapatkan bebola biasa jenama lain.
“Sejak Mei hingga kini, jika ada tempahan daripada kawan yang lain, saya akan ambil sekali kerana ramai juga kawan sekerja menyukai bebola marinade itu,” katanya.Noriszatulkomariah bukan sahaja menjadi pelanggan tetap, tetapi sejak mengambil tempahan dengan kuantiti banyak, memberinya peluang dilantik sebagai ejen bagi kawasan Teluk Intan.
Seorang lagi pelanggan, Noor Mazidah Che Nawi berkata, dia berpuas hati dan menyukai kelainan rasa bebola marinade yang dijual seorang pembekal Bumiputera di Klang.
"Paling utama, dari segi kebersihan dan status halal produk tersebut sangat diyakini.
“Saya selalu masukkan dalam hidangan seperti mi hailam, spageti, sayur campur dan sup daging,” katanya.
Produk halal Bumiputera
Kesukaran mendapatkan bebola daging yang terjamin status halal serta kebersihannya memberikan idea kepada Ahmad Darul Naim Abdul Wahid untuk menghasilkan bebola dagingnya sendiri.
Istimewanya bebola daging yang dihasilkan telah dipelbagaikan dengan perapan sos lada hitam hasil resipinya sendiri seterusnya dinamakan bebola daging marinade.
Ahmad Darul Naim yang juga Pengarah Pemasaran Iman's Meatball menganggarkan hasil jualan untuk bebola daging marinade mencecah 150 bungkus sehari.
Menurutnya, bebola yang dijual siap dalam paket yang mengandungi 50 biji siap diperap yang boleh terus dimakan atau dipanaskan semula mengikut selera.
“Bebola marinade ini baru tiga bulan saya perkenalkan, tetapi sambutannya amat menggalakkan berbanding bebola daging asli.
“Alhamdulillah pelanggan rata-rata berpuas hati dengan rasa sos lada hitam saya itu dan ramai antara pelanggan menjadi pelanggan tetap untuk produk tersebut.
“Ejen-ejen saya ada dari Johor, Melaka, Perak dan sekitar Klang serta Shah Alam di mana ramai antaranya menempah secara atas talian.
“Bagi penghantaran bebola pula, mesti dihantar dalam masa sehari untuk menjamin kualiti bebola. Selalu jika berdekatan saya akan hantar sendiri dan jika ke negeri lain, saya menggunakan perkhidmatan bas,” katanya.
Ahmad Darul Naim berkata, sering kali pelanggan yang menempah bebola marinade dengannya akan bertanya mengenai resipi hidangan sesuai boleh disediakan dengan bebola tersebut.
“Saya cadangkan boleh digril, digoreng atau dimasukkan ke dalam sos carbonara bersama spageti.
“Ramai juga pelanggan mempelbagaikan hidangan bebola tersebut mengikut cita rasa sendiri dan bebola itu tahan tiga bulan jika disimpan ditempat sejuk beku,” katanya
.