KUALA TERENGGANU - Bekas pemain pasukan bola sepak T-Team dihukum sehari penjara dan denda RM7,000 kerana mengaku memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi dalam satu kes perbicaraan mengatur perlawanan bola sepak membabitkan pasukan itu dengan pasukan Selangor, dua tahun lalu.
Tidak cukup dengan itu, Muhammad Shafiquddin Ibrahim, 25, berdepan hukuman penjara setahun lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda.
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini, membuat keputusan itu selepas dia mengaku salah memberi keterangan tidak selaras kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu semasa menjadi saksi kes perbicaraan bekas jurulatihnya, Sufian Ngah dan K Rajendran di Mahkamah Sesyen 3 Kuala Terengganu, di sini.
Muhammad Shafiquddin mengaku memberi keterangan bercanggah yang mana apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwaraya: “Masa di hotel awak ke bilik Pal. Dalam perjumpaan, dia minta Terengganu kalah dengan Selangor 4-2 dan awak setuju?” dan kamu menjawab “Tidak”.
Keterangan itu tidak selaras dengan pernyataan diberikan kepada Penolong Penguasa Syahriman Yahya, seorang Pegawai SPRM di Pejabat SPRM Terengganu, di sini, pada 4 Jun 2011 iaitu: “Pal Pandey minta kami kalah 4-2 dan kami bersetuju”.
Dengan itu, Muhammad Shafiquddin mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 (2) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen 3 Kuala Terengganu, di sini, lebih kurang jam 11.30 pagi hingga 3 petang, pada 6 Mei 2014.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah di hadapan Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz.