ABERDEENSHIRE - SCOTLAND‎. Seorang pesara yang digelar sebagai ‘lelaki gajah’ meninggal dunia di hospital selepas kakinya mula berdarah dan bertukar menjadi biru membengkak.
Difahamkan, anggota badan pesara berkenaan, Michael Cull bertukar saiz dua kali ganda berbanding biasa selepas menjalani rawatan akibat daripada kemalangan jalan raya yang dihadapinya sejak lebih satu dekad lalu.
Lelaki berusia 68 tahun dan berasal dari Fraserburgh telah meminta doktor untuk membuang lebihan isi di kakinya itu namun tarikh bagi temu janji berkenaan telah dianjakkan dan ditangguhkan beberapa kali.
Cull dimasukkan ke hospital di Newcastle selama enam minggu lalu bagi menjalani rawatan kecemasan memandangkan kakinya mula mengeluarkan darah dengan banyak ketika dia sedang bercuti di England.
Bulan lalu, Cull dipindahkan ke Rumah Sakit Diraja Aberdeen dan didapati meninggal dunia di samping teman rapatnya, Christina Brooks , 65.
Brooks berkata, dia merasa amat sedih melihat keadaan kesihatan Cull yang semakin merosot sejak beberapa minggu lalu.
“Sehari sebelum dia meninggal dunia, doktor memaklumkan bahawa Cull akan memerlukan amputasi dari pahanya disebabkan oleh sakit tersebut,” katanya.
Brooks berkata, Cull mengalami jangkitan yang teruk dan telah menggunakan antibiotik melalui titisan intravena (IV).