SEREMBAN – Mempunyai ketinggian luar biasa iaitu 2.06 meter menjadi kelebihan kepada Sheikh Akmal Sheikh Iman, 20 untuk menambah pendapatan sampingan dengan bergaya ala ‘predator’ iaitu watak pemangsa dalam sebuah filem sains fiksyen yang terkenal.
Apa dilakukan remaja terbabit yang pernah menerima anugerah Malaysia Book of Records (MBOR) pada tahun 2012 sebagai remaja tertinggi di negara ini ialah dengan berjalan-jalan di kawasan tumpuan umum bagi menarik perhatian ramai.
Jika ada yang menyapa dan mengajak untuk bergambar, bayaran antara RM5 sehingga RM20 dikenakan selain mereka turut diberikan salinan anugerah diterimanya dari MBOR sebagai cenderahati.
Menurut Sheikh Akmal, pada awalnya dia sekadar suka-suka selepas tertarik dengan topi keledar ala predator dipakai oleh rakan kumpulan motosikal disertainya.
“Dari situ timbul idea untuk jana pendapatan dan abang angkat saya telah membuat kostum predator menggunakan komponen motosikal dengan kos keseluruhan RM5,000.
“Kelainannya bila saya memakai kostum ini kerana saya tinggi. Ketinggian saya itu menjadi tarikan ramai dan orang tidak kisah dengan bayaran dikenakan,” katanya yang bekerja di kantin Sekolah Menengah (SM) Bukit Kepayang Seremban 2.
Selain itu, dia turut menerima jemputan daripada pelbagai pihak untuk hadir ke majlis  atau program di seluruh negara termasuklah majlis perkahwinan dengan mengenakan bayaran RM500.
Katanya, di setiap majlis dihadiri dia berperanan sebagai penghibur dan kehadirannya mampu mengubah suasana.
“Ia nampak mudah tapi berada dalam kostum berjam lamanya perlukan kesabaran dan panas” katanya.
Pada masa sama, Sheikh Akmal mengakui hidup sebagai manusia dengan berketinggian luar biasa juga mempunyai cabaran.
Antaranya kesukaran dialaminya termasuk mencari pakaian, kasut saiz 13 serta ketika menaiki kenderaan seperti bas atau kereta.