PELAKON, Raja Ilya melalui peristiwa mengerikan apabila dijangkiti sejenis bakteria sehingga menyebabkan tumbuh beberapa ketumbuhan di seluruh badannya.
Dek kerana itu juga, doktor mengesahkan pelakon mempunyai peluang 50-50 untuk terus hidup.
Kongsi pelakon yang sering dikenali dengan watak antagonis ini, segalanya bermula apabila dia digigit kucing kesayangannya pada Ramadan lalu.
Kesan daripada gigitan itu, tangannya mula membengkak dan ibunya menyarankan untuk berjumpa doktor.
"Doktor menyarankan untuk mengambil suntikan pencegahan, bagaimana lain pula jadinya apabila suntikan tersebut memberi kesan kepada saya. Badan saya mula ditumbuhi beberapa ketumbuhan yang menyakitkan sehingga timbul beberapa ketulan di badan.
"Dek kondisi saya yang kritikal dan mempunyai peluang 50 peratus untuk hidup, hospital swasta tidak dapat meneruskan rawatan dan kemudiannya menghantar saya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.
"Di sana, saya menjalani rawatan selama dua minggu termasuk menjalani dua pembedahan membuang ketumbuhan yang paling besar dan sakit," ujarnya ketika ditemui media pada majlis pelancaran KL Vampires.
Tambah Ilya, dia kini masih bergantung sepenuhnya kepada ubat dan akan menjalani beberapa siri pembedahan lagi untuk membuang 12 lagi ketulan ketumbuhan termasuk di tulang belakang.
"Doktor beritahu penyakit ini hanya berlaku kepada satu dalam seribu orang dan sayalah salah seorang darinya," jelasnya.
Bagaimanapun, Ilya turut berikhtiar untuk berubat secara tradisional dan pengamal perubatan tersebut mengatakan saya terkena buatan orang.
"Saya tak tahulah betul atau tidak, tapi dari beberapa orang yang melihat keadaan saya pada ketika itu, mereka turut mengatakan saya terkena buatan orang.
"Kalau benar saya ‘dibuat’ oleh seseorang, saya ucapkan terima kasih kerana dia sudah berjaya buat saya sengsara," ujarnya.
Sementara itu, Ilya turut meminta maaf kepada media dan pihak lain yang tidak mendapatkan maklumat tentang keadaan kesihatannya ketika itu kerana enggan menimbulkan kebimbangan kepada keluarga.
"Ramai yang hubungi saya untuk dapat maklumat dan ada juga yang datang hospital tetapi saya merayu supaya tidak keluar cerita tentang saya sakit.
"Saya tidak mahu orang lihat wajah saya waktu sakit dan ia juga akan menimbulkan kebimbangan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan saya yang berada di luar negara," jelasnya.
Tiada keyakinan
Dalam perkembangan lain, Ilya akan memulakan penggambaran KL Vampires bersama pengarah, Devan, minggu ini.
Bakal membawakan watak utama sebagai Ratu Citra Sari iaitu ketua pontianak baik yang akan bertarung dengan kumpulan pontianak jahat.
Katanya, dia menerima tawaran ini kerana mempunyai hubungan yang baik dengan Devan dan tertarik dengan kelainan karya kali ini.
"Ini bukan cerita pontianak Melayu atau yang tampil dengan muka menakutkan. Ia macam kebanyakan cerita pontianak luar negara.
"Di dalam filem ini, saya diperlukan untuk melakukan babak aksi menerusi silat Jawa yang masih mengekalkan kelembutan dan kesopanan dalam langkah silat," katanya.
Selain Ilya, filem ini juga akan dilakonkan oleh pelakon dari Malaysia dan Indonesia seperti Aeril Zafril, Donny Alamsyah, Cecep Arif Rahman, Reen Rahim, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.
Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Ilya juga bakal merakamkan single pertamanya tidak lama lagi.
Katanya, lagu tersebut dicipta oleh Nevin Navigator dan turut menampilkan Joe Flizzow.
"Selepas Gempak Superstar, Nevin menyatakan minatnya untuk mengeluarkan single pertama saya.
"Pada mulanya memang saya tak yakin untuk menerima. Tapi Nevin berjanji untuk membantu saya dari segi vokal dan sebagainya.
"Dan atas sokongan ramai juga, saya yakinkan diri untuk menerima tawaran tersebut," katanya yang akan melancarkan single tersebut tahun ini juga.
Akui Ilya, dia sebenarnya tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan sering merasa ada selebriti lain lagi yang lebih sesuai bagi menggalas tanggungjawab yang besar.
"Sejujurnya saya ada di lamar oleh pihak istana untuk mengadakan persembahan nyanyian, tapi saya belum bersedia kerana banyak lagi yang perlu saya pelajari dan perbetulkan.
"Malah kalau ada yang melamar saya untuk sesuatu karya dan memberikan watak lain dari antagonis, saya mesti rasa tak yakin untuk menjayakan serta akan bertanya berkali-kali, benarkah mereka mahukan saya.
"Bagaimanapun saya akan cuba memperbaiki diri dan benar-benar bersedia untuk membuat persembahan pentas tahun hadapan.
"Apa yang pasti, saya mahu mengambil kelas vokal terlebih dahulu," ujarnya yang tetap meletakkan karier lakonan di hadapan.