BATU GAJAH - Kapal korek bijih timah yang pertama dan satu-satunya yang masih tinggal akan menjadi produk tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Perak tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Datuk Aminudin Hashim berkata, kerja-kerja membangunkan infrastruktur dan baik pulih akan siap sepenuhnya penghujung tahun ini.
Menurutnya, RM30 juta akan diperuntukkan untuk fasa pertama bagi keseluruhan pembangunan melibatkan kawasan seluas 24 hektar yang berada di Tanjung Tualang, Batu Gajah.
“Kerja penambahbaikan berkenaan sahaja menelan kos RM4 juta dan kita anggarkan dibuka untuk dilawati pelancong terutama sempena Tahun Melawat Perak 2017.
“Malah bukan itu sahaja, kita akan bangunkan atau mengindahkan kawasan ini dengan pelbagai kemudahan lain termasuk kemudahan jalan raya, tandas dan lain-lain lagi. Ia usaha MB Inc untuk menjadi antara produk pelancongan yang mampu menambah kehadiran pelancong ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Jamuan Aidilfitri MB Inc di tapak kapal korek atau lebih dikenali dengan nama Tanjung Tualang Dregde No 5 (TT5) di sini, semalam.
Menurutnya, kerja penambahbaikan berkenaan juga melibatkan proses membaiki kerosakan, mengecat dan lain-lain keperluan pada kapal korek.
“Sebahagian daripada kapal korek ini senget dan tenggelam dan kerja pembaikan untuk mengapungkan setakat ini berjalan lancar sebagai usaha memastikan peninggalan sejarah itu berada dalam keadaan sempurna,” katanya.
Aminudin berkata, program ‘Save The Dredge’ dengan kerjasama kerajaan negeri dan pengusaha bijih timah bagi memulihara satu-satunya kapal korek bijih timah yang masih ada di negara ini.
“Sejak MB Inc mengambil alih pada 2015, kita mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk mereka yang pernah terlibat dengan industri ini.
“MB Inc juga mempunyai pelan jangka panjang bagi membolehkan kapal korek ini menjadi produk pelancongan antarabangsa kerana sudah berada di Perak sejak 1913 dan merupakan kapal korek pertama diperkenalkan di negara ini,” katanya.
Kapal korek terbabit dihadiahkan oleh Malaysian Mining Corperation (MMC) kepada Kerajaan Perak sekitar tahun 1990-an untuk dijadikan monumen sejarah dan tarikan pelancong.