NAMA pelakon Datin Anne Ngasri cukup sinonim suatu ketika dahulu dengan sitkom Cili Cili Padi.
Bukan itu sahaja, dia juga banyak membintangi drama, telefilem ketika masih bujang.
Namun seiring dengan usia dan statusnya yang sudah bergelar isteri dan ibu, pemilik nama sebenar Nasriah Ngasri mengakui lebih selesa berada di belakang tabir.
Dia kini giat membantu Darling yang juga pelakon menjalankan kerja-kerja belakang tabir untuk NS Star Sdn. Bhd (NS Star) iaitu syarikat produksi milik kakaknya itu.
“Saya masih berlakon tetapi di dalam drama bersiri terbitan NS Star iaitu Hero yang sedang ditayangkan di saluran TV2.
“Saya tidak berlakon dalam mana-mana drama atau filem ketika ini. Love Supermoon adalah filem terakhir yang saya lakonkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jadual kerjanya dengan NS Star yang semakin banyak menyebabkan Anne tidak berani untuk mengambil tawaran berlakon.
Menurut wanita berusia 32 tahun ini, dia bimbang tidak mampu memberi komitmen sepenuhnya sekiranya mengambil mana-mana tawaran.
“NS Star sedang sibuk melakukan penggambaran sebuah dokumentari. Jadi, saya perlu fokus untuk menyelesaikan dokumentari tersebut,” ujarnya.
Di sebalik kesibukannya melakukan kerja produksi, Anne meletakkan keluarga sebagai komitmen utama di dalam hidupnya.
Anne mendirikan rumah tangga dengan Datuk Mohd Sumali Reduan, 42, pada 22 Disember 2012. Menerusi perkahwinan itu, Anne dan Sumali dikurniakan seorang anak lelaki, Sufi Harraz yang kini berusia tiga tahun.
Hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Abdul Wafi Hassan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Abdul Warits, 11; Abdul Wafri, 8; dan Nazharah Afrozah, 6.
Sumali pula mempunyai seorang anak lelaki, Sufian Hakim,12.
“Saya sibuk dengan tanggungjawab menjadi seorang isteri dan ibu. Saya akan pastikan semua kerja rumah disiapkan sebelum keluar bekerja.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana rumahtangga saya semakin baik,” katanya yang sentiasa tersenyum.