Saturday 1 October 2016

UKM dan IUKL nafi berikan Phd dengan Azizan Osman

Belum reda penafian Universiti Malaya (UM), kini dua lagi universiti tempatan tampil menafikan pernah menganugerahkan ijazah doktor falsafah (PhD) kepada pakar motivasi terkenal, Azizan Osman.

Berita Harian melaporkan, jurucakap Pusat Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengesahkan tiada nama individu yang bernama Azizan Osman tersenarai sebagai penerima yang dianugerahkan PhD oleh universiti berkenaan.

Azizan mendakwa memiliki PhD dalam jurusan psikologi yang dianugerahkan UKM kepadanya, namun tidak didedahkan tahun beliau menerima ijazah doktor falsafah berkenaan.

Turut membuat penafian ialah Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) yang mengesahkan tidak pernah menganugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran dan PhD kepada pengasas syarikat Richworks Group of Companies itu.

Dalam kenyataan hari ini, IUKL berharap penafian berkenaan dapat menjelaskan kekeliruan dan salah faham yang membabitkan universiti itu.

Azizan dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari IUKL pada tahun 2009 diikuti oleh Doktor Falsafah dengan pengkhususan dalam bidang Pengurusan di universiti yang sama.

Maklumat mengenai pendidikan Azizan ini dipaparkan dalam profil syarikat miliknya namun kini semuanya ‘hilang’ selepas penafian daripada tiga universiti tempatan.

Sebelum ini, pernah ada pendedahan mengenai kelulusan Azizan yang mendakwa menerima penganugerahan PhD Sains Metafizik dari Universiti Gordon di Florida, Amerika Syarikat namun ianya turut meragukan. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

Post a Comment