LAGU Kepulangan dan Hadirmu Membawa Sinar antara karya yang telah menaikkan nama Razis Ismail di persada seni, sekaligus menjadikan dia popular di kalangan masyarakat sekitar 1980-an.
Selain lagu, ketampanan Razis tidak perlu dipertikaikan. Ketika itu, wajah Razis sentiasa menghiasi dada-dada majalah hingga membuatkan menjadi igauan peminatnya.
Meskipun dikurniakan kelebihan ini, ia sedikitpun tidak menjadikan Razis berlagak mahupun sombong.
Ibarat peribahasa Melayu, resmi padi, semakin berisi semakin menunduk, Razis sentiasa merendah diri.
Berada di kemuncak, Razis pernah mengejutkan ramai apabila mengambil keputusan berhenti menyanyi biarpun di kemuncak kariernya.
Baginya, semua manusia termasuk selebriti dipandang sama oleh ALLAH SWT dan kepentingan mempelajari Islam adalah sangat penting.
Razis berkata, penerapan asas agama telah ditanam oleh keluarganya sejak kecil lagi kerana Islam adalah perkara utama berbanding perkara lain.
Selain belajar agama dengan keluarganya, dia mengambil inisiatif lain untuk mendekatkan dirinya dengan Islam.
“Ketika berusia 13 tahun lagi, saya dah diterapkan berjemaah di masjid dan surau yang dekat dengan kawasan rumah. Ketika itu kami sekeluarga tinggal di Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
“Bila tengok bilal mengalunkan azan, terbit di hati saya untuk belajar azan. Saya pun belajar azan,” katanya.
Setelah mahir azan, Razis diberikan peluang untuk mengalunkan azan.
Dia juga tidak menyangka alunan azannya pernah dimainkan di stesen radio milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar 1970-an.
“Kebetulan juga, ada seorang staf RTM yang tinggal dekat dengan rumah saya pergi ke masjid dan merakam suara azan saya.
“Saya terkejut dengar suara saya tu yang dimainkan di radio RTM semasa waktu Asar dan Maghrib,” katanya yang tidak putus dengan kuntuman senyuman.
Selain belajar agama daripada keluarga, dia turut menuntut daripada beberapa ustaz dan agamawan terkenal seperti Datuk Ismail Kamus.
Razis belajar pelbagai cabang dalam Islam untuk dikongsikan kepada masyarakat di sekelilingnya.
Pernah ditegah menyanyi
Sebelum mengambil keputusan untuk menyanyi, Razis berkongsi kisahnya yang ditegur seorang ustaz yang mengajar di kampung halaman.
“Bila saya kata mahu terus berada dalam industri hiburan, guru saya kata tak sedap hati dengan keputusan itu.
“Namun, saya meyakinkan beliau, saya akan berpegang dengan semua ilmu yang diterapkan pada saya dan akan terus menjaga amalan dan menjauhi perkara yang ditegah Islam,” katanya.
Selain hal tersebut, Razis menyatakan ada kenalan yang menelefonnya apabila melihat persembahannya dalam  Gegar Vaganza 3.
“Kawan saya tu ada la sebut mengenai pandangan makmum masjid kawasan saya tu. Selepas dijelaskan, dia pun faham,” ujarnya.
Sepanjang menjadi penghibur, Razis berusaha menjaga tatatertibnya biarpun tahu rencam dalam dunia seni.
Katanya, kebanyakan artis sekarang yang masih menjaga batasan dan tidak kurang yang tidak meninggalkan solat.
“Malah, semasa berada dalam Gegar Vaganza, saya dan penyanyi lelaki akan solat Maghrib secara berjemaah,” katanya.
Pertahan artis
Sebagai orang lama dalam industri, Razis sentiasa mempertahankan artis jika ada yang melemparkan tuduhan atau kata-kata negatif terhadap mereka.
Razis biasanya bertindak untuk tampil memberi penjelasan.
“Penyanyi dikurniakan suara yang sedap oleh ALLAH SWT. Jadi, dengan suara inilah mereka mencari rezeki bagi menyara kehidupan keluarga mereka.
“Jadi, saya berharap tanggapan negatif sebegini semakin berkurangan di kalangan masyarakat kerana selebriti hanya mencari rezeki melalui bidang ini.
“Kalau dulu, saya akan terus pulang ke rumah selepas selesai sesebuah program,” katanya.
Selain menerapkan nilai keagamaan kepada rakan seperjuangannya, dia turut menitikberatkan Islam di kalangan keluarganya.
Jika anak-anaknya berada di rumah, Razis akan pastikan keluarganya menunaikan solat secara jemaah sama ada di rumah atau masjid.
“Saya juga akan ajak mereka untuk mendengar ceramah agama kalau ceramah diadakan di masjid berdekatan rumah saya.
“Selepas dengar ceramah, kami akan makan bersama-sama dan ketika itu, saya boleh mendengar perkembangan terkini mereka,” katanya.
Biarpun anak-anaknya sudah besar, Razis tetap menjalankan rutinnya dengan bertanya sama ada sudah solat atau belum.
“Solat itu adalah tiang agama. Kalau kita tinggal solat, kenalah ganti semula,” katanya.